SEPANG: Operator penerbangan popular tempatan, AirAsia berhasrat meningkatkan lagi kapasiti perjalanan udara ke Singapura yang semakin mendapat permintaan amat tinggi.
Pengarah Urusannya, Datuk Kapten Fareh Mazputra Fairuz berkata, syarikat penerbangan itu malah paling menguasai laluan Kuala Lumpur ke Singapura dengan lebih 30 peratus berbanding syarikat penerbangan lain.
Beliau berkata, setakat ini kekerapan operator itu terbang ke Singapura dari Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 73 kali sehala pada setiap minggu.
“Singapura turut merupakan pasaran terbesar AirAsia dengan hampir 4.5 juta penumpang negara ini, Indonesia dan Thailand sejak pasca wabak Covid-19 pada 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pelancaran rekaan badan pesawat bertemakan Love Singapore bersempena ulang tahun ke-20 operasi penerbangan AirAsia ke republik tersebut dengan kerjasama Singapore Tourism Board, di sini hari ini.
Susulan itu, mereka melancarkan kempen khas harga serendah RM78 sehala ke republik tersebut dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Kuching, Kota Kinabalu dan Langkawi.
Menyentuh promosi tambang rendah dari enam destinasi tempatan ke Singapura pula, ia sudah dibuka sehingga 30 Ogos depan untuk tempoh perjalanan sehingga 30 Jun 2025. – UTUSAN