Ahmad Zahid pastikan kelangsungan UMNO dalam tekanan politik

Ahmad Zahid pastikan kelangsungan UMNO dalam tekanan politik

ORANG ramai tidak melepaskan peluang berswafoto dengan Ahmad Zahid Hamidi semasa hadir ke Majlis Temu Mata bersama Warga Peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Masyarakat Renok di Dewan Gerakan Desa Wawasan Kampung Renok Baru, Gua Musang, Kelantan, semalam. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan UMNO terutama dalam menghadapi situasi mencabar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, meskipun berdepan dengan pelbagai tuduhan dan kes mahkamah, beliau tetap teguh dengan pendiriannya untuk mempertahankan UMNO.

Malah, katanya, beliau dilihat sebagai ‘hero’ oleh para penyokongnya kerana keberanian berhadapan dengan tekanan politik yang hebat.

“Di mata ahli UMNO, Ahamd Zahid bukan sekadar Presiden parti, tetapi pejuang yang berusaha menyelamatkan UMNO dari terus dipinggirkan dan dihapuskan oleh musuh-musuh politiknya.

“Ahamd Zahid memimpin UMNO pasca PRU14, selepas kekalahan besar UMNO, beliau mengambil alih kepimpinan parti dalam keadaan yang sangat genting.

“Walaupun berdepan tekanan dan cabaran dalaman serta luaran, beliau berusaha keras untuk memastikan UMNO terus relevan dan dapat bangkit semula,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd. Razlan, Ahmad Zahid juga berperanan dalam mengukuhkan perpaduan dalaman parti yang terpecah selepas PRU14 dan menyatukan fraksi-fraksi yang berbeza dalam parti, sekali gus mengelakkan perpecahan lebih besar.

Selain itu, beliau juga merupakan tokoh penting dalam membentuk kerjasama politik yang akhirnya membawa kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan seterusnya Barisan Nasional (BN) kembali ke dalam kerajaan.

“Begitu juga kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) melalui Kerajaan Perpaduan atas nasihat Yang di-Pertuan Agong.

“Walaupun bukan sebagai kerajaan dominan, kerjasama ini membolehkan UMNO memainkan peranan dalam kerajaan dan memperkukuh kedudukannya di arena politik negara,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid terus menekankan kepentingan untuk mempertahan hak-hak orang Melayu dan Islam di Malaysia, selari dengan prinsip perjuangan asal UMNO.

Ini termasuk mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan serta peranan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Katanya, walaupun berdepan pelbagai tuduhan dan tekanan politik, Ahmad Zahid memilih untuk kekal dalam UMNO dan berjuang dari dalam sekali gus menunjukkan keazaman dan kesetiaannya kepada parti, walaupun dalam keadaan yang sangat sukar.

“Tindakannya ini dilihat sebagai pengorbanan peribadi demi kelangsungan UMNO.

“Ahmad Zahid juga telah berusaha untuk memastikan aset-aset UMNO yang penting tidak hilang atau dibekukan oleh pihak berkuasa. Ini termasuk mengambil langkah undang-undang untuk mempertahankan hak milik parti terhadap harta-harta yang dimiliki, yang mana penting untuk kelangsungan parti,” katanya.

Justeru, beliau berkata, peranan dan jasa Ahmad Zahid ini menjadikannya seorang ‘hero’ tokoh penting dalam usaha menyelamat dan mengembalikan kekuatan UMNO di pentas politik Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya