‘Ahli UMNO jangan lalai, tarik semula keyakinan orang Melayu’

‘Ahli UMNO jangan lalai, tarik semula keyakinan orang Melayu’

UMNO
Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli UMNO tidak boleh lalai dalam perjuangan walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan hari ini dan mereka perlu berusaha memastikan parti itu terus dipercayai semula oleh orang Melayu demi kelangsungan masa depannya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini orang Melayu tidak sepenuhnya menyokong parti itu.

Sehubungan itu katanya, kepemimpinan parti perlu bertungkus-lumus dalam mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO.

“UMNO tidak boleh hidup dalam penafian kerana menjadi sebahagian daripada kerajaan dan jangan sesekali ia melalaikan kita.

“Kita tidak pun berkuasa sepenuhnya, sebaliknya kita hanya menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan. Janganlah dek kerana kita ada perkongsian kedudukan dalam kerajaan, lalu kita lalai dalam memilih tanggungjawab kita, merawat dan memulihkan keyakinan bangsa terhadap UMNO,” katanya.

Berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini malam tadi, beliau berkata, untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO, ahli parti sendiri juga perlu bersatu bagi mengukuhkan kedudukan parti.

“Kita mesti mengelakkan segala bentuk perseteruan dalam parti, sikap berpuak-puak mesti kita jauh dan hapuskan. Segala hasrat untuk cita-cita peribadi dalam politik juga mesti kita ketepikan.

“Perpaduan adalah apa yang UMNO mesti ketengahkan jika parti ini ingin pulih dan kembali diyakini semula,” ujarnya.

Menurut Mohamad, meskipun terdapat perbezaan pendapat dan percanggahan daripada isu yang berbangkit, ia perlu diuruskan dengan penuh kematangan.

“UMNO sebagai parti yang waras dan rasional perlukan suara-suara yang jujur dan ikhlas. Suara-suara yang berani dan berprinsip, bukan taklid membuta tuli, tetapi perbezaan pendapat dan percanggahan idea, pertembungan pendirian, semua itu sekadar sunnah perjuangan yang harus diurus dengan kematangan dan kedewasaan.

“Ia tidak boleh mengatasi kesetiaan dan kecintaan pada parti. Apatah lagi jika dibiarkan terheret oleh emosi dan kepentingan diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN