Ahli politik perlu hormat hak pihak berkuasa, budi bicara Agong lantik PM 

Ahli politik perlu hormat hak pihak berkuasa, budi bicara Agong lantik PM 

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pihak terutama kalangan ahli politik perlu menghormati hak yang diberikan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan lunas undang-undang apatah lagi melibatkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk melantik Perdana Menteri.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, perkara itu terkandung dalam Perlembangaan Persekutuan berhubung pelantikan Perdana Menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang tidak disyaratkan mesti mendapat kepercayaan majoriti, tetapi memadai mungkin mendapat kepercayaan tersebut selepas dilantik. 

Dalam hal ini, menurut beliau, tidak wajar mana-mana ahli politik khususnya yang pernah atau masih terikat dengan sumpah Jadual Keenam Perlembagaan tidak menunjukkan teladan yang baik dalam memelihara, mempertahan dan melindungi Perlembagaan. 

“Saya berpandangan semua ahli politik terutama dalam kepimpinan masing-masing perlu sentiasa berhati-hati dalam membuat kenyataan yang sensitif. 

“Sebagai orang Melayu yang terkenal dengan budi bahasa dan adat sopan, amalan itu perlu menjadi keutamaan. Jika amalan itu dipegang, saya percaya tidak berlaku keadaan  yang memerlukan Tengku Mahkota Pahang bertitah sedemikian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. 

Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah murka dan terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin A-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Tengku Hassanal bertitah, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tersebut memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong Ke-16 seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10. 

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.

Tengku Hassanal meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R iaitu Kaum, Agama, Institusi Diraja.

  Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, semua ahli politik seperti juga manusia biasa perlu menerima takdir tentang menang kalah, untung rugi, rezeki, ujian dan sentiasa bermuhasabah.

 Katanya, kadang kala kuasa dan amanah yang dikejar ada yang tidak terlaksana, namun sejauh mana pertimbangan yang diberikan terhadap konsep pertanggungjawaban dan adakah kita pernah kesali kegagalan dan kelemahan diri.

 “Setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah yang kebanyakannya di luar pengetahuan kita. Suatu perjuangan untuk kebenaran berlandaskan ajaran agama, kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan perlu terus dilakukan.

 “Ia meskipun tidak mendapat ganjaran di atas dunia kerana setiap daripada kita mempunyai amanah yang perlu dipikul. Dari sudut ini adakah kita sentiasa menghalusi dasar perjuangan yang dibawa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya