PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Dafi Ismail, kembali dengan buah tangan terbaharu selepas menyepi lapan tahun dalam bidang nyanyian.
Menurut Dafi atau nama sebenarnya Dafi Ismail Sabri, 36, lagu bertajuk Hellooo! hasil sentuhan Altimet dan Shazee Ishak itu dipilih sebagai simbolik salam perkenalan kepada peminat.
“Sudah lama sebenarnya saya tidak tampil dengan single baru, sehinggakan ada yang lupa saya sebenarnya penyanyi. Ini kerana saya lebih memberikan fokus kepada bidang lakonan.
“Memandangkan karya ini sudah lama berada dalam simpanan dan sudah dirakamkan, ini adalah masa terbaik untuk dilancarkan khas untuk halwa telinga semua pihak.
“Beberapa tahun tertangguh, tidak dinafikan ada rasa ralat dalam diri kerana semuanya sudah disiapkan cuma ada hal teknikal yang tidak dapat dielakkan menyebabkan ia disimpan dahulu,” kata Dafi kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, peserta program realiti Akademi Fantasia musim kelima ini menjanjikan hala tuju muzik yang lebih segar selain menunjukkan sisi kematangannya sebagai penghibur.
“Semakin dewasa dalam bermuzik, saya ingin menyajikan kelainan sewaktu menyampaikan lagu yang penuh dengan semangat muda, persahabatan dan juga aura positif.
“Saya dikenali menerusi lagu Bila Terasa Rindu, namun saya ingin bereksperimentasi dengan muzik sejajar dengan peningkatan usia, sekali gus memberi impak positif kepada kerjaya.
“Single ini begitu istimewa kerana dihasilkan dua figura yang juga merupakan idola saya dalam industri. Karya yang mereka hasilkan sering mencetuskan magis, jadi pertama kali mendengar Hellooo!, saya sudah jatuh cinta,” jelasnya.
Berkongsi lanjut mengenai single terbaharunya itu, Dafi menyifatkan Hellooo! Padat dengan mesej positif yang diilhamkan daripada perjalanannya sebagai anak seni yang tidak putus asa selepas melalui pelbagai kritikan. “Sebagai anak seni, keadaan sebegitu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya yang saya cintai ini.
“Hellooo! merupakan suara hati saya. Selepas lebih sedekad bergiat aktif dalam bidang ini, saya lebih matang dan berpendirian.
“Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan namun saya masih bersemangat dan tidak berputus asa dalam bidang seni.
“Ini kerana saya mempunyai minat mendalam dalam bidang seni dan saya tidak akan mudah berputus asa begitu saja,” katanya.
Selain menghadiahkan peminat dengan buah tangan terbaru, Dafi juga berharap dapat menarik peminat dari kalangan generasi muda untuk mengenali dirinya.
Dafi yang kini bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana label mengakui lebih bebas berkarya dan bereksperimentasi meneroka arena nyanyian.