Ada ‘tugas lain’ untuk Mohd. Zuki bantu negara - PM

Ada ‘tugas lain’ untuk Mohd. Zuki bantu negara – PM

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga JPM, di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pengganti Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang akan menamatkan kontraknya sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan diumumkan dalam masa terdekat.

Malah, Perdana Menteri memberitahu, calon pengganti Mohd Zuki belum lagi dimuktamadkan selepas kontrak beliau akan berkahir pada Sabtu ini.

“(Calon KSN) kita akan umum dalam masa betul-betul terdekat,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Perdana Menteri memberi bayangan untuk memberikan tugas lain kepada Mohd Zuki selepas persaraannya dalam perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, beliau  tidak menyebut apakah tugas lain yang akan diberikan bagi membantu kerajaan dalam menjayakan agenda Malaysia Madani.

“Ini merupakan perhimpunan terakhir beliau sebagai KSN…Nak kata bersara tidak juga kerana ada tugas-tugas penting yang lain, tapi (bersara) dari perkhidmatan awam.

“Saya tentunya kehilangan seorang pendamping yang penting dalam perkhidamtan awam, tapi beliau telah berjanji bersedia seperti sedia kala untuk membantu apa saja diperlukan bagi menjayakan negara Madani ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Mohd Zuki dilantik sebagai KSN sejak 31 Disember 2019 dan bersara pada 10 Ogos 2022 sebelum kontraknya disambung semula selama dua tahun.

Menurut Anwar, sejak hari pertama beliau menjawat Perdana Menteri, segala nasihat dan pandangan Mohd. Zuki adalah secara konsisten yang terbaik untuk perkhidmatan awam dan negara.

Kata beliau, ini termasuk merujuk pandangannya dalam beberapa keputusan penting kerajaan terutama berhubung Kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Saya nak ambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan dan rasa terhutang budi saya kerana walaupun beliau berpengalaman dengan beberapa Perdana Menteri sebelum ini, tetapi tetap menjalankan khidmat benar-benar profesional.

“Pengalaman saya secara peribadi dalam kerajaan mengemudi negara ini, ia tambah meringankan bila kita lihat tokoh-tokoh utama dalam penjawat awam betul-betul komited dan mencurahkan segalanya, waktu dan tenaga termasuk hujung minggu.

“Itulah Tan Sri Zuki KSN, tidak pernah memberi sedikit gambaran bahawa beliau susah dengan tekanan dan bebanan yang saya berikan,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri meminta kumpulan penjawat awam lain yang masih berada dalam perkhidmatan awam tidak berganjak pendirian untuk memberikan perkhidmatan terbaik walaupun ada pandangan-pandangan serong dan teguran termasuk daripada beliau sendiri.

Dalam memberikan teguran itu, beliau tidak pernah menafikan sumbangan, komitmen dan pengorbanan besar penjawat awam dalam mengangkat negara ke tahap lebih baik, ekonomi mencatat kejayaan, ringgit diperkukuh serta pelaburan datang mencurah.

“Lebih utama siapa mengemudinya, kalau dalam kalangan kita dari politik memberikan pandangan-pandangan kalau tidak disambut dengan rasa yakin. Pada peringkat awal tentu sukar, kerajaan baharu dan satu kejutan dalam sistem dunia politik Malaysia, keadaan terawang-awang terumbang-ambing dari keadaan sebelumnya.

“Kemudian datang saya dengan beberapa pandangan yang agak tegas, cara kerja lebih keras. Saya tentunya mengambil waktu, dalam penjawat awam ia mengambil masa untuk melihat peralihan itu, tapi dari sosok Tan Sri Zuki saya tidak lihat dari hari pertama saya bertugas komitmen beliau terus menyempurnakan tugas sebagai tonggak penjawat awam yang harus kita banggakan,” katanya.

Mohd Zuki yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura, pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN