PETALING JAYA: Kejahilan terhadap agama menjadi faktor utama ajaran sesat subur di negara ini.
Pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khalif Muammar A. Harris berkata, peningkatan teknologi menyebabkan banyak maklumat palsu berhubung agama Islam tersebar luas.
Katanya, apabila semakin ramai orang jahil di negara ini, maka ajaran sesat menjadi lebih subur.
Justeru, kata beliau, pembelajaran agama Islam perlu dilakukan bersama orang-orang berwibawa atau para ulama dan tidak hanya bergantung kepada maklumat yang tersedia dalam internet serta media sosial.
“Individu-individu yang mengamal dan menyebarkan ajaran sesat ini kebiasaannya mengaku dengan pelbagai dakwaan palsu seperti ada mengatakan diri mereka nabi dan mempunyai kuasa ghaib iaitu mengampunkan dosa atau memberi pahala.
“Ada juga dakwa mereka ada kemampuan luar biasa seperti boleh nampak syurga dan neraka, boleh memberi maklumat tentang masa depan serta alam ghaib,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, penyebaran ajaran sesat di negara ini bukan sahaja masih berleluasa tetapi kini dilakukan secara terbuka menggunakan platform-platform media sosial untuk mencari dan menarik pengikut.
Antara platform popular digunakan ialah menerusi aplikasi TikTok, YouTube dan Facebook. Penyebaran ajaran terutama yang bertentangan dengan Islam kini tidak lagi dilakukan secara bergerak dari satu tempat ke satu tempat. – UTUSAN