ARAU: Sesiapa yang melalui jalan dari Arau ke Kangar di sebelah kiri bahu jalan di Kubang Gajah di sini, mata pasti terlihat kelibat seorang lelaki yang memakir kenderaan di tepi jalan cekal menjual jagung.
Sambil menunggu pelanggan di tepi jalan itu, Mohammad Anuar Ariffin,38, juga sentiasa mengambil inisiatif dengan `bersiaran langsung’ melalui laman sosialnya bagi melariskan jualan jagungnya.
Dia yang memanfaatkan kelebihan media sosial tersebut bagi memasarkan jagungnya, berjaya mencapai jualan purata 400 hingga 700 batang jagung sehari dengan pendapatan sekitar RM150.
Mohammad Anuar berkata, dia mula menjalankan perniagaan jagung di tepi jalan ini pada 2019 dan terus bertahan sehingga kini.
Kata bapa kepada seorang anak berusia sembilan tahun itu, sebelum ini, dia berniaga petai namun kurang memberansangkan sebelum beralih kepada perniagaan jagung.
Ujarnya, sebenarnya banyak perubahan apabila dia mula bersiaran langsung di media sosial mempromosikan jagung tersebut sekali gus berjaya menarik lebih ramai pelanggan.
“Jualan sebelum saya melakukan siaran langsung di media sosial sebelum ini sekitar 200 batang sahaja berbanding ketika melakukan siaran langsung antara 400 hingga 700 batang
“Media sosial ini banyak membantu hasil jualan
saya sehingga meraih keuntungan dua kali ganda berbanding sebelum ini. Alhamdulilah, ia sangat-sangat membantu dalam menjana pendapatan dalam menampung kehidupan seharian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambah Mohammad Anuar, setiap hari dia menyediakan jagung segar yang baru dikutip dari kebun bagi memberi kepuasan kepada para pelanggan.
Dia selalu beroperasi dari pukul 11 pagi sehingga habis hasil jualan.
“Alhamdulilah, pelanggan sentiasa bertambah setiap kali selain daripada pelanggan tetap yang selalu singgah membeli jagung,” katanya.-UTUSAN