KUALA LUMPUR: “Sudah lama saya ajak, tapi dia malu. Macam ibu dia.”
Demikian seloroh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebelum memulakan persembahan bersama puteri kesayangannya, Siti Aafiyah menerusi konsert Siti Nurhaliza: Love Is In The Sky di Arena Of Stars Genting Highland, sebentar tadi.
Aafiyah yang pertama kali mengiringi ibunya bermain keyboard menerusi lagu Nadi dan Cinta Tak Mungkin bersama adiknya, Muhammad Afwa.
“Sebenarnya susah saya nak mengawal perasaan bila sepentas dengan Aafiyah. Puas nak pujuk dia.
“Semalam, masa raptai susah tau nak pujuk sebab setengah jam dia menangis. Tapi Alhamdulillah, terima kasih Aafiyah. Terima kasih Afwa,” ujarnya sebelum memulakan persembahan.
Sebelum ini, Siti Nurhaliza sering berkongsi video Aafiyah bermain piano dan keyboard di media sosial sehingga ramai peminat yang menantikan persembahan mereka bersama.-UTUSAN