900 majikan ditahan gaji PATI

900 majikan ditahan gaji PATI

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang didapati melanggar undang-undang dengan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya untuk bekerja di kedai makan atau pun sektor pembersihan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak Januari sehingga 16 Ogos lalu, Jabatan Imigresen (JIM) telah menangkap seramai 900 majikan.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 11,903 operasi dilaksanakan dengan pemeriksaan dibuat ke atas 106,432 orang dan 29,030 PATI berjaya ditahan.

“Majikan tidak boleh menggajikan PATI, sebagai contoh yang bekerja di kedai tom yam atau kedai makan dan premis pembersihan, mereka (majikan) perlu mendapatkan pekerja yang sah dan berdaftar dengan JIM, tapi mereka ini ambil PATI yang tiada dokumen atau yang tinggal lebih masa.

“Setiap majikan perlu mengambil tanggungjawab, kita akan dakwa mereka kerana adalah menjadi kesalahan menggajikan PATI. Apabila majikan tidak ambil pekerja asing yang tiada dokumen ini, maka kita boleh kurangkan (jumlah), jadi tindakan kita adalah tegas dalam perkara seperti ini,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan, ketika ini antara fokus utama JIM adalah mengenal pasti majikan yang ingkar dan bertindak menggajikan PATI.

Jelasnya, tindakan majikan menggajikan golongan tersebut turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kebanjiran PATI di negara ini.

“Saya ingatkan semua majikan di luar sana, jangan sesekali menggajikan PATI, mereka perlu mengikut proses betul, ini adalah menjadi satu kesalahan yang besar di bawah Akta Imigresen,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya