8,195 calon SPM ulangan duduki peperiksaan mulai 20 Ogos

8,195 calon SPM ulangan duduki peperiksaan mulai 20 Ogos

SERAMAI 8,195 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPMU Tahun 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 8,195 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2024 di 187 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, mereka akan menduduki peperiksaan itu pada 20, 21 dan 22 Ogos ini melibatkan tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

Katanya, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 1,329 petugas peperiksaan dilantik untuk Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu.

“Seramai 1,189 petugas peperiksaan pula untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu.

“KPM mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU Tahun 2024 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPM berkata, Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my.

Katanya, calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

“Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian melalui pautan sppat.moe.gov.my,” katanya.

Pada masa sama, KPM mengingatkan calon mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPMU Tahun 2024.

KPM turut mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN