757 projek perumahan terbengkalai berjaya dipulih

757 projek perumahan terbengkalai berjaya dipulih

Aiman Athirah (depan) mengadakan lawatan tapak TFST ke projek perumahan swasta terbengkalai di Taman Desa Anjung Putra, Sepang, Selangor.-
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sebanyak 757 projek perumahan membabitkan 89,165 unit rumah berjaya dipulihkan bermula akhir 2022 sehingga Julai lalu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kesemua projek itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM147.28 bilion.

Beliau berkata, kejayaan itu diperoleh hasil usaha Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Bagi pencapaian TFST bagi tempoh awal tahun ini sehingga penghujung Julai lalu, sebanyak 305 projek iaitu 35,468 unit perumahan swasta telah berjaya dipulihkan dengan GDV RM23.46 bilion.

“Jumlah projek yang berjaya dipulihkan ini merangkumi 286 projek yang mendapat Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC),” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat projek perumahan swasta terbengkalai di Taman Desa Anjung Putra, di sini hari ini.

Katanya, Taman Desa Anjung Putra disahkan terbengkalai oleh KPKT pada Februari 2022 dan diambil alih Amanahraya Development Sdn Bhd melibatkan 18 unit rumah dua tingkat yang dijual bermula RM567,000 hingga RM1.2 juta.

Aiman Athirah berkata, tarikh perjanjian jual beli pertama projek adalah pada 24 Disember 2010 dan sepatutnya disiapkan pada Disember 2012.

“Ketika disahkan terbengkalai, kemajuan projek mencapai 97.5 peratus dan pemaju tidak berjaya memperoleh CCC dalam tempoh ditetapkan kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan oleh agensi teknikal dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

“Projek ini dijangka memperoleh CCC pada September ini memandangkan hampir kesemua surat sokongan bagi tujuan pengeluarannya telah diperoleh.

“Seramai 18 pembeli yang menunggu hampir 12 tahun akan mendapat manfaat daripada pemulihan projek mempunyai nilai GDV RM14.8 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN