7 sekolah tahfiz perintis Program Rehlah Sains, pupuk minat STEM

7 sekolah tahfiz perintis Program Rehlah Sains, pupuk minat STEM

ANTARA program sains pada Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympic 2024 peringkat Zon Timur di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Kampus Gambang, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah tujuh buah sekolah tahfiz akan menjadi perintis kepada Program Rehlah Sains, iaitu inisiatif terbaharu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memberikan pendedahan sains, teknologi dan inovasi (STI) kepada kumpulan pelajar itu.

Program yang bakal diadakan pada bulan Oktober dan Novenber depan itu adalah antara program mini karnival Minggu Sains Negara yang akan dilaksanakan di sekolah sekitar negeri Pantai Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Menurut MOSTI, program ini turut bertujuan memupuk minat mereka terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan melahirkan pelajar berfikiran kreatif dan berinovasi.

“MOSTI komited untuk menggembleng tenaga dan usaha bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membudayakan STI melalui program-program pembudayaan STI di luar bilik darjah yang berterusan kepada golongan sasaran yang terlibat.

“Ia khususnya kanak-kanak dan pelajar di peringkat bangku sekolah melalui program Malaysia Techlympics dalam memperkasakan agenda STEM Negara,” katanya dalam kenyataan.

Program tersebut dilancarkan pada majlis Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympic 2024 peringkat Zon Timur bertempat di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Kampus Gambang, Sabtu lalu.

Hampir 1,000 peserta dari tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan berkumpul pada 7 dan 8 Ogos lalu untuk bersaing di Peringkat Zon Timur bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang akan berlangsung pada November depan di Putrajaya.

Kata MOSTI, Penganjuran Malaysia Techlympics 2024 peringkat Zon Timur ini merupakan pelaksanaan zon pertama sebelum pelaksanaan di peringkat Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak.

“Malaysia Techlympics merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap STEM melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi.

“Ini adalah tahun ketiga pelaksanaan program ini setelah dilancarkan pada tahun 2022. Pelbagai pertandingan yang berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), dron, pengkodan dan robotik yang dipertandingkan di peringkat negeri dan zon,” katanya.

Katanya, Malaysia Techlympics 2024 menyasarkan penyertaan seramai 1 juta penyertaan daripada seluruh negara bermatlamat membudayakan STI kepada kumpulan sasar melalui pendekatan hands-on dan tidak formal.

Ini termasuk  melalui kaedah pembelajaran eksperimental  dan pertandingan melibatkan pelajar dan belia di semua peringkat umur, jantina dan bangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN