62 set tren penumpang baharu ditambah, kos RM10.7 bilion

62 set tren penumpang baharu ditambah, kos RM10.7 bilion

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan melaksanakan strategi baharu perolehan aset tren penumpang untuk rangkaian keretapi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggunakan kaedah pajakan (leasing) melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G2G).

Kaaedah G2G itu antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan China dengan pelaksanaan tempoh Fasa 1 adalah dari2024 hingga 2027.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan dasar baharu tersebut menyasarkan penambahan sebanyak 62 set tren penumpang baharu dengan anggaran kos RM10.7 billion yang akan ditampung secara ansuran selama 30 tahun tempoh pajakan.

“Kos sebenar akan dimuktamadkan setelah selesai rundingan dengan pihak China dalam tempoh masa terdekat.

“Hampir 90 peratus tren penumpang dalam rangkaian perkhidmatan KTMB adalah buatan syarikat China Railway and Rolling Stock Corporations (CRRC) iaitu sebuah syarikat milik Kerajaan China.

“CRRC juga merupakan peneraju industri keretapi yang terkemuka dalam pasaran global baik dari segi teknologi mahupun dari segi hasil perniagaan,” katanya menerusi sidang akhbar berhubung Inisiatif Pemerkasaan Industri Kereta Api bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini hari ini.

Menurut Loke, jumlah bilangan tren dalam perkhidmatan yang boleh digunakan ketika ini secara keseluruhan berjumlah 68 set tren penumpang.

Jelasnya, tanpa melaksanakan penambahbaikan segera, mutu perkhidmatan rangkaian KTMB dibimbangi akan merosot.

“Umum mengetahui bahawa tren-tren penumpang terutamanya untuk perkhidmatan ETS (Perkhidmatan Tren Elektrik) dan KTM Komuter menghadapi cabaran dari segi ketersediaan dan kebolehpercayaan.

“Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk menambah bilangan tren penumpang bagi setiap laluan perkhidmatan yang ditawarkan di samping memastikan setiap tren penumpang berada di dalam keadaan baik pada setiap masa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kebaikan kaedah kos pajakan antara lain merangkumi semua tahap penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) oleh entiti yang membekalkan tren sepanjang tempoh tersebut.

“Penambahan dalam Fasa 1 itu membabitkan sebanyak 62 set tren penumpang yang merangkumi 36 set Three Car Set (3CS) kereta api elektrik pelbagai unit (EMU), 12 set Six Car Set (6CS) EMU dan 14 set Six Car Set (6CS) kereta api diesel pelbagai unit (DMU).

“Penyelenggaraan berjadual itu akan dilaksanakan secara berstruktur oleh syarikat-syarikat original equipment manufacturer (OEM) yang akan memastikan ketersediaan dan kebolehupayaan set tren pada tahap yang cemerlang. Ini secara langsung dapat memastikan operasi tren lebih efisien dan selamat demi kemudahan rakyat,” katanya.

Tambah beliau lagi, keadah perolehan secara pajakan juga dapat dilakukan dengan lebih cepat berbanding kaedah perolehan tren secara biasa.

“Selain dapat meningkatkan mutu perkhidmatan keretapi, kadar penggunaan landasan (track utilisation) juga dapat dipertingkatan daripada 30 peratus pada masa sekarang kepada 45 peratus menjelang 2027.

“Keadah pajakan juga akan membantu perancangan aliran tunai (cash flow) yang lebih teratur bagi pihak kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN