BESUT: Seramai 58 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra di sini berdepan detik cemas apabila bangunan asrama yang dihuni mereka mengalami kebakaran malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli kebakaran itu melibatkan empat buah bilik di tingkat satu asrama lelaki tersebut.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.44 malam sebelum 20 anggota serta pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut dan BBP Jerteh digerakkan ke lokasi kejadian.
“Difahamkan pelajar dan piham asrama
telah cuba memadam kebakaran tersebut, namun api semakin marak.
“Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan dilaporkan apabila pelajar terlibat berjaya keluar dari bangunan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Azrul Izzham, pihaknya mengambil masa kira-kira 1 jam 40 minit untuk mengawal dan memadamkan sepenuhnya kebakaran tersebut.
Tambahnya, bomba terpaksa memecahkan siling bangunan itu untuk memastikan kebakaran tersebut telah dipadam sepenuhnya terutama di bahagian bumbung bangunan.
“Bagaimanapun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN