5,000 peserta perarakan meriahkan Hari Kebangsaan di Johor

5,000 peserta perarakan meriahkan Hari Kebangsaan di Johor

SAMBUTAN Hari Kebangsaan melibatkan lebih 5,897 peserta di Dataran Segamat, pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sebanyak 114 kontinjen dengan lebih 5,897 peserta bersama lebih 10,000 warga Segamat berkampung seawal pukul 5 pagi untuk menyerikan perarakan Hari Kebangsaan yang ke-67 Peringkat Negeri Johor di Dataran Segamat pagi ini.

Bertema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, perbarisan tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bermula 8 pagi dimulai dengan persembahan  Yayasan Warisan Johor. 

Perarakan merangkumi 10 komponen diterapkan iaitu Kenegaraan, Perpaduan, Malaysia MADANI, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif, Komuniti, Sukan Negara serta Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.

“Dengan membawa tema Jiwa Merdeka pada tahun ini, saya berharap seluruh warga Malaysia bersatu hati dalam masyarakat berbilang kaum.

“Kita harus mengenang dan menghargai perjuangan nenek moyang kita dalam mendapatkan kemerdekaan hari ini,” kata Onn Hafiz.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Mohd Puad Zakarshi, Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Dato Zahari Sarip, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Datuk Afandi Senin, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Ahmad Zambri Marinsah, Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor, serta pegawai-pegawai agensi-agensi kerajaan. 

Datuk Onn Hafiz Ghazi turut mengambil peluang berpantun dan disambut sorakan hangat dari lebih 10,000 pengunjung yang hadir.

Gimik perasmian oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi mendapat tepukan gemuruh pengunjung dengan pelepasan belon udara bersama Jalur Gemilang diiringi letupan  warna-warni ke ruang udara Dataran Segamat.

Perbarisan turut melibatkan lebih enam pasukan pancaragam terdiri daripada pelajar sekolah, jabatan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pelbagai pakaian kebangsaan, kebudayaan dan tradisional bertemakan warna Jalur Gemilang ditonjolkan oleh setiap kontinjen dengan penuh bersemangat dan menjiwai rasa cintakan negara.

Lebih 70 aset kenderaan termasuk daripada ATM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi menyemarakkan semangat kemerdekaan hari ini. 

Pelbagai kategori dipertandingkan antaranya kategori sepanduk terbaik, kategori pakaian terbaik, kategori badan beruniform sekolah terbaik dan pelbagai lagi.

Pemenang kategori keseluruhan perbarisan tahun ini di sandang oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) manakala Kategori Perbarisan Terbaik (peringkat sekolah) di menangi oleh Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM).

Selain itu, Kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun dimenangi oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor, tempat kedua, adalah kontijen Perbendaharaan Negeri Johor dan tempat ketiga, Majlis Daerah Simpang Renggam, Kluang.

Tidak ketinggalan pakaian terbaik peringkat Sekolah, Tadika dan Pewaris dijuarai oleh Tadika Kemas Daerah Segamat, tempat kedua, Tadika Perpaduan Daerah Segamat dan tempat ketiga Tadika Agama Johor Mukim Jabi, Segamat.

Bagi mengetengahkan kekayaan seni dan budaya Malaysia, warga Malaysia berbilang bangsa terdiri daripada setiap lapisan usia dari warga emas dan kanak-kanak mewarnai hari bersejarah hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN