50 bot nelayan berarak di laut sambil kibar Jalur Gemilang

50 bot nelayan berarak di laut sambil kibar Jalur Gemilang

SEBAHAGIAN daripada bot yang mengambil bahagian dalam perarakan sambutan bulan kebangsaan di Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sekumpulan nelayan dari Pengkalan Nelayan Paramount dan Gurney Drive tidak ketinggalan untuk menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini apabila berarak menggunakan bot sambil mengibarkan Jalur Gemilang sejauh kira-kira satu kilometer, hari ini.

Selain nelayan, perarakan yang menggunakan 50 buah bot secara keseluruhannya itu melibatkan seramai 150 orang termasuk ahli keluarga mereka, orang awam serta ahli Pertubuhan Jaringan Ekologi dan Iklim.

Acara berkenaan turut disokong oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang yang turut bersama menggerakkan aset serta jet ski bagi mengiringi bot nelayan berkenaan.

Kesemua bot nelayan itu bergerak secara konvoi di laut sambil mengibarkan Jalur Gemilang bermula dari Pengkalan Nelayan Paramount sehingga ke Tembok Warisan Laut di Padang Kota Lama.

Difahamkan, perarakan menggunakan bot nelayan di tengah laut sambil mengibarkan Jalur Gemilang itu turut menarik perhatian pengunjung yang berada sekitar Padang Kota Lama iaitu lokasi Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat Pulau Pinang.

TIGA orang kanak-kanak menaiki sebuah bot yang dihiasi Jalur Gemilang dengan berlatarbelakangkan pemandangan Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN

Dalam pada itu, Ketua Pengkalan Nelayan Paramount, M.Ravi berkata, konvoi bot nelayan di tengah laut sambil mengibarkan Jalur Gemilang itu kali pertama diadakan dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para nelayan setempat.

“Kami berharap acara ini dapat dijadikan acara tahunan untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara. Oleh itu, lebih ramai nelayan di negeri ini diharap dapat menyertai acara seperti ini yang dapat menzahirkan rasa patriotisme yang mendalam sambil meraikan kepelbagaian dalam negara ini,” katanya.

Menurut Ravi, perarakan bot ini bukan sekadar perayaan kerana ia adalah cara para nelayan menunjukkan bahawa nelayan Pulau Pinang adalah penyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

Dalam pada itu, seorang nelayan dari Pengkalan Nelayan Gurney Drive, Ismail Ibrahim, 62, berkata, dia membawa empat orang cucunya iaitu Nur Hana Afrina Mohd Izwan, 11; Akhyar Fayad Rizalman, 9; Nur Haira Afrina dan Nur Hayfa, masing-masing berusia lapan dan empat tahun untuk menyertai konvoi nelayan berkenaan.

“Cucu-cucu saya semuanya sangat berminat dengan acara-acara melibatkan kemerdekaan dan hari ini, kira-kira pukul 6 pagi lagi kesemuanya sudah bangun dan bersiap memakai pakaian yang bertemakan merdeka.

“Mereka juga sudah biasa menaiki bot sebelum ini, jadi, mereka sangat gembira dapat menyertai acara hari ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya