4,000 peserta sertai perarakan Hari Kebangsaan peringkat Terengganu - Utusan Malaysia

4,000 peserta sertai perarakan Hari Kebangsaan peringkat Terengganu

SEBAHAGIAN daripada anggota pasukan keselamatan daripada kontinjen ATM membawa Jalur Gemilang ketika perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 peringkat Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 4,000 peserta daripada 122 kontinjen terlibat dalam perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024 peringkat negeri Terengganu yang berlangsung meriah di Dataran Shahbandar, di sini, pagi ini.

Mereka terdiri daripada kakitangan jabatan, agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat, institusi pengajian, kumpulan pancaragam dan badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Terengganu.

Pada seawal pukul 6 pagi, orang ramai mula berkumpul di jalan-jalan utama sekitar Kuala Terengganu untuk menyaksikan perarakan iaitu Jalan Sultan Omar, Jalan Cherong Lanjut, Wisma TNB dan seterusnya ke Dataran Shahbandar.

Semua kontinjen memulakan perarakan mereka dari Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, di sini dengan acara penyerahan Jalur Gemilang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa
Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah.

Orang ramai dilihat teruja menyaksikan perarakan pasukan keselamatan negara seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Kemuncak perarakan ialah ketibaan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan yang berkenan berangkat ke majlis itu pada pukul 9.30 pagi bersama adindanya, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az untuk menyaksikan perarakan kontinjen dan lintas ‘Hormat DiRaja’ serta persembahan udara pesawat Sukhoi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Sementara itu, orang kakitangan swasta, Adina Nadhirah Nazaruddin, 35, berkata, dia datang bersama 13 ahli keluarganya untuk membawa anak-anak menyaksikan perarakan tersebut.

“Ini kali pertama saya datang kerana anak-anak yang mahu melihat pasukan keselamatan dan jentera-jentera mereka,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Hasif Ahmad Tarmizi 43, pula berkata, dia mengambil kesempatan cuti ‘berkembar’ di Terengganu untuk membawa keluarga menaiki bot penambang dari Seberang Takir untuk pergi ke Dataran Shahbandar bagi menyaksikan perarakan itu kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Seronok lihat semua pengunjung yang begitu semangat dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang jalan, terasa begitu kuat patriotisme sepanjang berada di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN