TEMERLOH: Seramai 220 pemanah termasuk enam atlet negara menyertai Kejohanan Memanah Tradisional 2024 (KMT 2024)-Panahan Merdeka sempena Bulan Kemerdekaan anjuran Persatuan Memanah Masjid Nurul Iman Sungai Temerloh, baru-baru ini.
Acara memanah yang julung kali diadakan turut disertai pelbagai peringkat umur termasuk lelaki dan wanita serta 53 Kelab Memanah Tradisional termasuk dari Sabah.
Pengerusi Jawatankuasa pertandingan, Mejar (B) Suhaimi Mohamed Saman berkata, program tersebut mendapat pengiktirafan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) bagi mempromosi sukan memanah tradisional kepada Masyarakat.
“Sukan memanah sangat signifikan dalam sejarah Islam dan menjadi warisan nenek moyang kita yang merangkumi nilai-nilai tradisi yang telah diwarisi dari generasi ke generasi” katanya.
Suhaimi berkata, Masjid Nurul Iman Temerloh satu-satunya masjid di negeri ini mempunyai padang sasar standard khusus untuk pertandingan memanah tradisional peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Katanya, antara nama besar yang menyertai pertandingan ialah Abdul Fattah Zakaria dari Kelab Memanah El-Quwy Gapeter, Marang Terengganu, Rusnani Ismail dari Kelab Sinar Cahaya Azim Negeri Sembilan dan Muhammed Ikram Mazlan, Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Haq Kg Alai, Muadzam Shah.
Setiausaha pertandingan, Azamuddin Ahmad, 56, pula berkata, pihaknya sedang berunding dengan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) untuk memasukkan kejohanan ini dalam kalendar tahunan bulan kemerdekaan tahun hadapan.
“Kejohanan Memanah Tradisional ini akan memberi kesan yang positif kepada pembangunan sukan negara dan akhirnya membentuk masyarakat yang sihat dan aktif,” katanya
“Saya optimis tahun hadapan lebih ramai penyertaan pemanah dari seluruh negara hasil promosi masjid dan juga MPT dengan daya tarikan pelancong Temerloh Titik Tengah Semenanjung,” katanya. – UTUSAN