KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan pusat panggilan penipuan pelaburan mata wang kripto yang mensasarkan warga Jepun dalam dua serbuan di ibu negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam kedua-dua serbuan di dua unit rumah banglo itu seramai 21 individu ditahan.
Menurut beliau, mereka yang ditahan membabitkan seorang lelaki warga tempatan, 17 warga China dengan seorang wanita, seorang wanita warga Laos serta masing-masing seorang lelaki warga Hong Kong dan Myanmar.
“Kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 37 tahun itu berperanan sebagai pekerja khidmat pelanggan di pusat panggilan terbabit namun hanya seorang warga tempatan yang ditugaskan sebagai penjaga pusat berkenaan,” kata beliau pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.
Menurut beliau, sindiket itu menggunakan banglo yang mempunyai dua lapisan pagar tinggi dan terletak jauh dari jalan utama sebagai pusat operasi bagi menyembunyikan kegiatan mereka daripada diketahui pihak berkuasa.
Jelas Ramli, mereka yang ditahan berperanan untuk mencari mangsa melalui platform media sosial seperti Tinder dan monster serta mangsa yang terpedaya akan diajak untuk melabur melalui aplikasi Bitbank dan CoinCheck.
“Siasatan turut mendapati ahli sindiket ini masuk ke Malaysia menerusi Pas Lawatan Sosial dan kesemua mereka menerima gaji dalam bentuk komisen iaitu sebanyak 20 peratus daripada wang yang berjaya ditipu.
“PDRM turut merampas 17 set komputer, 55 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah router, segugus kunci dan dua buah unit penggera,” katanya.
Menurutnya, individu warga tempatan yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 25 Ogos lepas setelah tempoh reman ke atasnya tamat.
“Manakala 20 individu yang lain sedang menjalani tahanan reman di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam pada itu, Ramli berkata, polis menegaskan apa jua bentuk tawaran pelaburan melalui platform media sosial perlu dianggap sebagai penipuan.
“Sekiranya ingin membuat pelaburan, lakukan secara selamat melalui skim pelaburan yang diiktiraf oleh badan-badan penguat kuasa pelaburan di negara ini seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia,” katanya. – UTUSAN