200,000 pekebun nikmati harga tertinggi getah dalam 20 tahun

200,000 pekebun nikmati harga tertinggi getah dalam 20 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 200,000 pekebun kecil di seluruh negara kini menikmati harga tertinggi komo­diti getah yang mencecah sehingga RM4.50 sekilogram dalam tempoh hampir 20 tahun.

Kenaikan harga getah antara RM4 hingga RM4.50 sekilogram itu membantu penoreh menjana pendapatan RM4,000 hingga RM6,000 sebulan bergantung keluasan tanaman komo­diti tersebut.

Sebelum ini, harga getah adalah antara RM3.50 hingga RM3.80 sekilogram.

Justeru, mereka berharap harga getah yang dinikmati sejak kebelakangan ini kekal bagi memberi kehidupan yang lebih berkualiti kepada penoreh getah.

Difahamkan, penoreh pernah menikmati kadar harga lantai getah yang tinggi mencecah RM7 sekilogram pada 2010 sebelum harganya merudum pada 2012 yang mengakibatkan golongan itu terjejas.

Ketua Blok 18 Felda Chuping, Perlis, Izan Asmawi Habidan berkata, sejak sebulan lalu, penoreh menikmati harga getah antara RM4.30 hingga RM4.50 sekilogram sekali gus memberi semangat kepada golongan tersebut melakukan kerja-kerja menoreh.

Katanya, kebiasaan peningkatan harga tersebut tidak bertahan lama dan mungkin turun sedikit demi sedikit namun penoreh berharap kenaikan kali ini berterusan.

“Apabila harga naik sehingga RM4 ke atas ia mampu memberi keselesaan kepada penoreh bagi menjana lebih pendapatan. Sudah lama sebenarnya harga getah ini tidak naik sehingga paras RM4 ke atas.

“Seingat saya, kenaikan paling tinggi adalah pada 2010 yang mencecah RM7 sekilogram. Pada masa itu, penoreh cukup mewah sebelum harga getah turun dan naik selepas itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Izan Asmawi, kenaikan tersebut juga mendorong kepada pendapatan lumayan yang lebih selesa buat para penoreh yang mampu menjana pendapatan bulanan antara RM4,000 sehingga RM6,000.

Seorang lagi penoreh, Mohamad Abdullah, 65, berkata, harga getah ketika ini dalam sekitar RM4 dan diharap boleh meningkat sehingga RM5 berikutan kos sara hidup semakin tinggi.

Dia yang mengambil upah menoreh berkata, sehari dia mampu menoreh antara 40 kilogram dengan pendapatan sekitar RM80.

“Kalau boleh naik lagi harga getah, agak baiklah dalam keadaan harga barang semakin meningkat ketika ini. Bagi penoreh, kita melakukan kerja-kerja menoreh ini enam bulan sahaja dalam setahun bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Sementara itu, seorang penoreh dari Kampung Baroh Pial, Rantau Panjang, Kelantan, Mariam Seman, 46, berkata, lonjakan harga itu secara tidak langsung memberikan semangat kepada mereka untuk melaksanakan kerja-kerja menoreh getah.

“Sudah lama kami impikan harga getah yang tinggi. Sebelum ini harga getah sekerap pernah jatuh teruk sekitar RM2.30 sekilogram.

“Keadaan itu sememangnya memberikan kesan tidak baik kepada sehingga ada dalam kalangan penoreh terpaksa ikat perut selain berjimat-cermat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd. Taufik Yaacob menasihatkan pengusaha dan penoreh getah di sesetengah kawasan yang sedang meraih pendapatan lumayan ketika ini merancang perbelanjaan mereka sebaik-baiknya.

Katanya, kenaikan harga getah yang tinggi itu lazimnya tidak kekal lama.

“Harga tinggi itu hanya naik sekejap, mungkin dalam tempoh seminggu dua. Ramai penoreh sedang gembira ketika ini tetapi tidak mustahil ia kembali ke harga bawah RM4 sekilogram seperti sejak beberapa bulan lalu.

“Namun, harga RM3.50 ke atas yang diraih pengusaha dan penoreh ketika ini sudah cukup baik berbanding bawah RM3 sekilogram yang berlarutan lama sehinggakan ada yang menggantung pisau dan melakukan kerja lain,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Taufik berkata, kerajaan harus memikirkan satu kaedah baharu yang boleh memberikan harga getah stabil, tinggi dan tetap agar penoreh mendapat hasil yang berbaloi dengan usaha mereka.

“Selain faktor harga getah, penoreh juga terpaksa bergelut dengan keadaan cuaca yang tidak menentu serta ancaman penyakit yang menjejaskan pengeluaran susu getah.

“Secara purata, penoreh hanya boleh menoreh antara tiga hingga ke empat bulan sahaja dalam setahun, selain tempoh itu keadaan hujan adalah berpanjangan tetapi tahun ini mungkin lama sikit namun berdepan pula fenomena kemarau,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN