2.64 juta pengembara disaring, tIada kes disyaki penyakit mpox

2.64 juta pengembara disaring, tIada kes disyaki penyakit mpox – KKM

PENUMPANG melalui notis Mpox di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna di Chennai pada 21 Ogos 2024.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada kes disyaki penyakit cacar monyet atau mpox hasil saringan hampir 2.64 juta pengembara melalui saringan di pintu masuk antarabangsa bagi tempoh 16 Ogos hingga semalam.

KKM dalam kenyataan memaklumkan, sepanjang tahun ini sehingga semalam, sebanyak 33 kes disyaki mpox dilaporkan di fasiliti kesihatan yang mana 32 kes disahkan negatif dan satu kes lagi masih menunggu keputusan makmal.

Katanya, pengembara dari negara berisiko dinasihatkan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri dalam tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan.

“Sebagai persediaan awal, KKM mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memaklumkan peranan masing-masing dalam aktiviti kawalan dan pencegahan jangkitan mpox,” katanya hari ini.

Menurut KKM, sesi secara maya juga diadakan bersama Kementerian Luar Negeri dan perwakilan Malaysia di negara-negara Afrika bagi menggembleng kerjasama untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat kepada warga Malaysia yang berada di negara-negara tersebut.

KKM juga telah membuat hebahan berkaitan mpox kepada orang ramai melalui pelbagai saluran seperti media massa dan media sosial.

“Kesiapsiagaan juga perlu dipertingkatkan lagi bagi menghadapi sebarang situasi jangkitan mpox. Untuk itu, KKM menyeru supaya individu berisiko tinggi yang mengalami gejala mpox seperti demam, bengkak pada kelenjar limfa dan ruam/lepuh perlu mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berdekatan.

“Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox termasuk hubungan seksual,” katanya.

KKM turut menyeru mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau ‘hand sanitiser’.

Buat masa ini, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang nasihat atau syor untuk diadakan sekatan perjalanan.

Justeru, individu yang melawat negara berisiko adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan kebersihan kendiri, mengelakkan kontak dengan individu yang bergejala atau haiwan yang sakit.

“Segera merujuk kepada fasiliti kesihatan sekiranya bergejala, serta mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa.

“Seperti yang terbukti ketika Malaysia dan negara-negara lain berjaya mengatasi beberapa wabak sebelum ini, ancaman mpox ini juga perlu ditangani melalui pendekatan seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN