153 murid SK Clifford sertai Kursus Kepimpinan Pemimpin Cilik

153 murid SK Clifford sertai Kursus Kepimpinan Pemimpin Cilik

SEBAHAGIAN murid SK Clifford yang menyertai Kursus Kepimpinan Pemimpin Cilik di sekolah berkenaan di Lipis, Pahang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 153 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Clifford di sini diberi pendedahan menerusi Kursus Kepimpinan Pemimpin Cilik yang dilaksanakan di sekolah tersebut.

Program sehari itu turut mendapat kerjasama daripada Unit Bimbingan dan Kaunseling Institut Pendidikan Guru Kampung Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) dekat sini.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Besar SK Clifford, Zarina Manja berkata, program tahunan berkenaan diadakan bertujuan untuk menanam sikap kepimpinan dalam kalangan pemimpin cilik.

Menurutnya, kursus itu juga dilihat mampu melahirkan pemimpin yang cekal dalam menghadapi cabaran semasa menjalankan tugas serta menggalakkan murid-murid rajin berusaha untuk mencapai kejayaan.

“(Seramai) 153 murid yang terlibat adalah terdiri daripada pengawas sekolah, pengawas Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), pengawas pusat sumber, Pembimbing Rakan Sebaya, ketua dan penolong ketua kelas.

“Seramai 20 penuntut IPGKTAA Opsyen Bimbingan dan Kaunseling turut terlibat selaku fasilitator dalam program ini,”katanya di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, penuntut tahun pertama IPKGTAA, Muhammad Imran Adha Mustafa, berkata, kursus kepimpinan itu mampu memberi pendedahan kepadanya dan rakan-rakan dalam memantapkan ilmu pengetahuan sebelum bertugas di lapangan kelak.

Jelasnya, ia juga menjadi platform perkongsian ilmu dan menimba pengalaman kepada mereka selaku bakal pendidik untuk berhadapan dengan murid-murid.

“Malahan kami selaku fasilitator dapat mengasah kemahiran interpersonal dan meningkatkan keyakinan diri dalam mengendalikan tanggungjawab besar di masa hadapan,” ujarnya.

Bagi peserta terbaik kursus, Ahmad Abqari Abdullah, 11, berkata, menerusi kursus kepimpinan berkenaan dapat memupuk kerjasama dan perbincangan antara rakan-rakan dan fasilitator. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN