MELAKA: Sebanyak 14 laluan di sekitar Banda Hilir di sini akan ditutup sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri pada 31 Ogos ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ia bagi memberi laluan kepada acara perbarisan dan perarakan yang diadakan di hadapan Mahkota Parade iaitu di Jalan Merdeka.
Ujarnya, penutupan jalan-jalan utama di sekitar tapak sambutan bakal dilaksanakan secara berperingkat dalam dua fasa iaitu sesi raptai dan persiapan tempat pada 28 dan 29 Ogos serta sambutan hari sebenar pada 31 Ogos.
“Pelaksanaan penutupan atau lencongan jalan semasa perarakan adalah melibatkan lampu isyarat Hotel Hatten yang mana aliran trafik dari Melaka Raya ke Jalan Parameswara ditutup semasa perarakan. Kenderaan hanya boleh belok kiri ke Jalan Melaka Raya.
“Selain itu, laluan ke belakang Mahkota Parade turut ditutup, kenderaan yang hendak ke Plaza Mahkota perlu melalui susur Hotel Holiday Inn.
“Di simpang Menara Taming Sari, laluan ke Jalan Tun Khalil ditutup. Aliran trafik keluar dari Plaza Mahkota perlu melalui Jalan PM6 dan kontra di belakang Mahkota Parade ke Jalan Syed Abdul Aziz,” katanya.
Tambah Christopher, turut ditutup adalah aliran trafik ke jam besar yang dilencongkan ke Jalan Banda Kaba dan Jalan Chan Koon Cheng (kontra) menghala ke simpang Hotel Equatorial.
“Di Jalan Bukit Cina aliran trafik ke lampu isyarat Meng Seng ditutup dan dilencongkan ke Jalan Puteri Hang Li Po. Di Jalan Temenggong, laluan ke lampu isyarat Padang Nyiru ditutup.
“Di lampu isyarat Meng Seng, aliran trafik hanya ke Bulatan Bukit Cina. Penutupan turut melibatkan lampu isyarat Bunga Raya, Jalan Bunga Raya Pantai, simpang Jalan Kee Ann, simpang Jalan Tun Mamat dan simpang Jalan Graha Maju ke Jalan Hang Tuah.
“Seterusnya, simpang Jalan Kubu ke Jalan Hang Tuah juga ditutup. Aliran trafik hanya ke Jalan Kampung Hulu. Penutupan juga melibatkan laluan ke Jalan Tan Chay Yan,” jelasnya. – UTUSAN