127 rakyat Palestin akan dihantar pulang - Utusan Malaysia

127 rakyat Palestin akan dihantar pulang

MOHAMAD HASAN dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 127 rakyat Palestin yang berada di Malaysia atas urusan bantuan perubatan akan dihantar pulang ke tanah air mereka.

Perkara itu diuruskan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dari segi hubungan dua hala  sementara Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pertahanan dari segi operasi penghantaran  pulang.

Mohamad berkata, bantuan itu adalah sebahagian daripada pertimbangan kemanusiaan dan tanda solidariti Malaysia bersama Palestin menentang tindakan tidak berperikemanusiaan atau genosid.

“Mereka sebenarnya tidak mahu datang ke Malaysia atau keluar daripada tanah air mereka. Mereka lebih rela mati di tanah air sendiri dan dengan janji kita bawa mereka ke sini untuk memberikan sedikit bantuan perubatan kepada anak yang cedera.

“Kita telah berjanji dengan mereka, bagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin, saya yang akan menyatakan manakala bagi operasi penghantaran, Menteri Pertahanan yang akan uruskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam ini.

Terdahulu, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang.

Mohamed Khaled sebelum ini berkata, Kerajaan Malaysia sudah merangka misi ini sejak sekian lama tetapi perlu mendapatkan kelulusan Kerajaan Mesir, selain melihat pelbagai alternatif dalam usaha ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, semua pihak tidak perlu bimbang kerana tiada rakyat Palestin akan dihantar ke negeri-negeri tertentu.

“Kita sebagai masyarakat antarabangsa dan negara yang mempunyai hati terhadap penderitaan, sedikit yang kita lakukan, janganlah dihebohkan sangat. Jika ada negeri yang risau kita menghantar rakyat Palestin ke negeri mereka, saya boleh katakan tiada,”katanya.

Dalam sidang akhbar sama, Mohamed Khaled memaklumkan, buat masa ini
tiada perancangan misi kedua untuk mengambil dan merawat rakyat Palestin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN