Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, Kota Kinabalu membuka tirai sambutan Hari Kebangsaan peringkat sekolah melalui pelancaran sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan baru-baru ini.
Penyelaras program, Lynette Jeffery Daim berkata, pelancaran program sambutan Bulan Kebangsaan itu diadakan sebanyak dua kali iaitu untuk pelajar sesi pagi dan petang yang membabitkan seramai 1,200 orang.
Setiap kali bulan Kebangsaan, pelbagai aktiviti disusun di peringkat sekolah dalam usaha memupuk semangat patriotisme dan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar termasuk murid prasekolah, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan pelajar Program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang bulan Kebangsaan ini adalah pertandingan baju beragam, pertandingan koir antara unit beruniform, pertandingan mewarna, pertandingan permainan tradisional, pertandingan Sugandoi (menyanyi) dan tayangan dokumentari kemerdekaan.
Selain itu, antara pertandingan yang membuatkan pelajar teruja adalah pertandingan menghias kelas mengikut kreativiti guru dan pelajar masing-masing.
“Pelajar pelajar kami memang teruja dan tidak sabar untuk terlibat dalam semua aktiviti dan pertandingan yang diadakan sempena bulan Kebangsaan. Ada hadiah menanti pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
“Melalui penganjuran pelbagai program itu, kami berharap bukan hanya dapat menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan murid malah, dapat mencungkil bakat dan kreativiti mereka. Ia sekali gus membantu memupuk minda yang kreatif dan inovatif dalam kalangan pelaja, “ ujarnya.
Lynette berkata, pertandingan sugandoi yang diadakan bukan sekadar dapat mencungkil bakat nyanyian dalam kalangan pelajar tetapi, juga dapat memupuk perpaduan dan melahirkan persefahaman dan toleransi antara pelajar pelbagai kaum. – UTUSAN