10,000 dijangka hadir sambutan Hari Kebangsaan di Pulau Pinang

10,000 dijangka hadir sambutan Hari Kebangsaan di Pulau Pinang

LAW CHOO KIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka membanjiri Jalan Padang Kota Lama, di sini sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ke-67 peringkat negeri Pulau Pinang, Sabtu ini.

Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri, Datuk Seri Law Choo Kiang berkata, sambutan tersebut akan bermula seawal 7.30 pagi dengan acara perbarisan dan perarakan sebelum dijangka selesai kira-kira pukul 11.30 pagi.

Beliau berkata, sebanyak 106 penyertaan telah diterima bagi kontinjen kawad kaki meliputi pelbagai jabatan, agensi dan badan berkanun sama ada di peringkat negeri dan persekutuan serta anak syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peserta kali ini adalah seramai 7,190 orang.

“Bagi kontinjen kenderaan pula, jumlah penyertaan yang diterima adalah sebanyak 20 dengan penglibatan sebanyak 1,078 peserta bersama 714 buah kenderaan.

“Pada masa yang sama, jumlah jawatankuasa dan petugas yang terlibat adalah seramai 1,877 orang manakala jumlah keseluruhan penyertaan yang diterima daripada kontinjen dan urusetia yang terlibat pada tahun ini adalah berjumlah 10,145 orang,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Choo Kiang yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berkata,
acara perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan Ke-67 itu juga diserikan lagi dengan persembahan koir lagu patriotik oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan China.

Ujar beliau, turut diadakan ialah persembahan Gabungan Tarian 3 Kaum beserta Persembahan Pukulan Jidor, Pasukan Kawalan Kehormatan dari Rejimen Kedua serta aset kenderaan iaitu Perisail GEMPITA 8×8 selain persembahan khas iaitu acara kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tarian perang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pada tahun ini juga, sebanyak 20 pempamer daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya yang memberitahu, selain aset, jentera berat turut dipamerkan untuk menarik perhatian pengunjung.

Dalam pada itu, Choo Kiang berkata, sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 pada tahun ini akan dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) serta tetamu kehormat lain.

“Butiran terperinci mengenai penutupan jalan bermula pada sesi raptai iaitu 29 Ogos dan 31 Ogos 2024 akan dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut serta dihebahkan melalui sosial media Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Jabatan Penyiaran Pulau Pinang, Unit Komunikasi Korporat Dana Inovasi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN