SUNGAI BULOH: Kira-kira 1,000 syarikat bumiputera di Selangor yang aktif dan layak membayar zakat, belum melunaskan kewajipan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, jumlah itu berdasarkan data pendaftaran oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Di Selangor, kami menjangkakan sekurang-kurangnya 30,000 syarikat bumiputera yang aktif dan layak membayar zakat berdasarkan pendaftaran syarikat di Perkeso. Namun yang masih belum membayar adalah dalam lingkungan 1,000 syarikat.
“Daripada jumlah itu, ia melibatkan perniagaan jenis individu (Pemilikan Tunggal) dan syarikat (Sendirian Berhad). Bagaimanapun, kami perlukan sedikit kajian dan pengiraan sama ada mereka layak atau tidak sebenarnya,” katanya kepada pemberita pada program Dizkopi Zakat Selangor, di sini, semalam.
Terdahulu, lebih 30 wakil syarikat yang terdiri daripada pegawai eksekutif serta pengurusan tertinggi hadir pada sesi Dizkopi Zakat Selangor bagi mendalami isu semasa berkaitan tadbir urus zakat.
Dizkopi merupakan program inisiatif strategik yang dianjurkan LZS dengan matlamat memperkukuhkan pengurusan dan kutipan zakat dengan menjadikan ia sebagai platform untuk menghimpun pemimpin agama dan tokoh-tokoh korporat.
Mengulas lanjut mengenai Dizkopi, Mohd. Sabirin berkata, program yang diadakan secara berkala itu menyasarkan golongan yang berbeza.
“Usaha ini sebagai salah cara untuk merapatkan diri dengan pempengaruh dan usahawan kerana kami menganggarkan jumlah itu telah meningkat apabila mereka sudah mula berniaga secara atas talian.
“Ia menjadi cabaran kepada kami untuk mengesan dan mendedahkan mereka tentang zakat kerana berbeza dengan dahulu apabila mereka perlu ada tempat berniaga dan premis.
“Justeru, ini adalah antara dakwah yang kami sedang buat dalam memberi kesedaran dan menghebahkan kepentingan menunaikan zakat perniagaan selain daripada zakat pendapatan,” katanya. – UTUSAN