PUTRAJAYA: Para peminat sains astronomi tempatan berpeluang menyaksikan sendiri fenomena angkasa unik dikenali sebagai Hujan Meteor Perseid pada malam esok.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) yang dihubungi, kejadian dijangka berterusan sehingga subuh 13 Ogos dengan purata 100 meteor per jam melintasi langit negara ini.
“Kenampakan hujan meteor ini di Malaysia malah diramalkan adalah baik kerana bulan akan terbenam tengah malam semasa waktu kemuncak fenomena ini berlaku,” katanya.
Agensi berkenaan turut memaklumkan bahawa titik kemunculan pancuran meteor itu di langit kelazimannya dari arah buruj Perseus namun ia masih boleh berlaku pelbagai arah.
Lokasi buruj itu, ujarnya terletak di kawasan langit sebelah Utara bumi sebelum hujan ini berpecah kepada banyak arah lain dengan fenomena tersebut biasa terjadi setiap tahun.
Hujan itu muncul secara rutin apabila bumi beredar mengelilingi matahari dan planet ini perlu merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle yang nukleusnya berdiameter 26 kilometer.
Jasad samawi bintang berekor asap itu kelazimannya mengambil masa selama 133 tahun melengkapkan satu pusingan orbit dan kali terakhir pernah mendekati bumi pada 1992.
“Komet ini diramalkan menghampiri bumi sekali lagi pada tahun 2126 namun ia sering mengorbit mendekati matahari yang menyebabkan debu-debunya dibebaskan,” jelas Mysa.
Keadaan tersebut ekoran proses pemejalwapan yang kemudian berserakan membentuk laluan dipenuhi sisa komet berkenaan dan akhirnya debu memasuki atmosfera bumi pula.
Tinggalan komet tersebut ujar agensi berkenaan lagi, akan terbakar sebelum membentuk jalur bersinar yang cukup panjang seumpama imej curahan hujan meteor di langit bumi.
Bagi mereka yang ingin memerhatikan fenomena ini dengan terang, Mysa menasihatkan agar mencari kawasan gelap dan paling baik jauh dari sebarang isu pencemaran cahaya.
Pancuran meteor Perseid sudah lama dicerap manusia lebih 2,000 tahun dan dinamakan kerana titik asalnya muncul dari buruj Perseus, bersempena wira mitos legenda Yunani.
Ia dianggap hujan meteor yang paling lebat dan lazimnya muncul di angkasa terutama kawasan hemisfera Utara planet ini dari setiap pertengahan Julai sehingga akhir Ogos.
Setakat ini, rekod pencerapan kadar kemuncak Hujan Meteor Perseid paling banyak ialah 173 meteor sejam pernah dicatatkan saintis astronomi antarabangsa pada 13 Ogos 2009. – UTUSAN