10 hari dibiar lapar, dihukum tekan tubi 500 kali sehari

10 hari dibiar lapar, dihukum tekan tubi 500 kali sehari

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Salah seorang warga Malaysia yang menjadi mangsa jenayah pemerdagangan manusia di Myanmar mendakwa pernah dibiarkannya kelaparan kira-kira selama 10 hari.

Mao (bukan nama sebenar) dari Seremban, Negeri Sembilan dan berusia 30-an itu juga tidak dapat berdiri lama ketika ditemui bagi menceritakan pengalaman pahit dialaminya.

“Saya beberapa kali tidak diberikan langsung sebarang makanan 10 hari lamanya kerana gagal dapat buat apa-apa jualan ‘penipuan’ atas talian,” katanya selepas dia dan dua lagi rakyat Malaysia selamat tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dari Phnom Penh, Kemboja.

Tiga mangsa berketurunan Cina tersebut diselamatkan dengan bantuan kerjasama dari pihak pasukan polis nasional Kemboja setelah menerima lokasi mereka disembunyikan.

Menceritakan lebih lanjut, Mao mengakui pernah pengsan akibat didera teruk termasuk dirotan 36 kali sehari jika gagal mendapatkan sebarang ‘jualan’ ditetapkan.

“Kami juga dihukum buat tekan tubi sebanyak 500 kali dan sekiranya masih lagi tiada hasil jualan, didenda pula kena kerja teruk 16 jam sehari tanpa ada rehat cukup,” jelasnya.

Seorang lagi mangsa turut sayu mendedahkan kisah pengalaman pahit dirinya, Tien (bukan nama sebenar), 30-an dari Johor yang berada di Myanmar selama lebih dua tahun.

Dia mulanya tertarik dengan tawaran pekerjaan di Thailand oleh rakan baiknya di negara ini selepas terpaksa menutup perniagaan yang diusahakannya ekoran wabak Covid-19.

Setiba di Bangkok ujarnya, dia namun dibawa dua lelaki warga China dan dikurung dalam sebuah hotel semalaman di ibu kota negara jiran itu sebelum diseludup pula ke Myanmar.

Paling perit katanya, sepanjang lebih 12 jam ke Tachileik, Myanmar, matanya itu ditutup termasuk ketika singgah di Chiang Rai, sebuah bandar popular sempadan di Thailand.

“Setiap hari dipukul dan kami juga tidak berani melarikan diri kerana kesemua pengawal bersenjata api walaupun ‘dijual’ banyak kali kepada beberapa sindiket berbeza,” jelasnya.

Walau bagaimanapun ujarnya, peluang terbaik melepaskan diri hanya dapat dibuat ketika di Kemboja apabila mereka dapat menghubungi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menerusi aplikasi sosial TikTok.

Sementara itu, Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tiga mangsa tersebut diselamatkan di Bavet, sebuah bandar raya terbesar wilayah Svay Rieng di tenggara Kemboja bersempadan Vietnam.

Usaha pembebasan mangsa di negara itu juga lebih mudah berbanding Myanmar kerana MHO mendapat kerjasama baik dari pihak polis tempatan dan Kedutaan Besar Malaysia.

Organisasi itu juga menerima bantuan daripada seorang tokoh sami Buddha ternama dari Pulau Pinang, yang dikenali sebagai Master Chi dengan menaja tiket penerbangan balik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya