Felda Robotic Challenge 2024 (FRC) adalah inisiatif Felda untuk meningkatkan kemahiran kreatif dan penguasaan murid dalam bidang robotik, khusus untuk generasi baharu tanah rancangan Felda.
Pertandingan tersebut menurut Pengurus Projek Zull Design Autotronic (ZDA) Muhammad Asif Zulkifli dianjurkan oleh Felda dengan kerjasama pihaknya bagi menyokong pendidikan digital kebangsaan di kawasan Felda dengan ber tujuan menggalakkan aktiviti inovasi dalam kalangan murid dan guru.
Sehubungan itu, pertandingan yang dilangsungkan ini melibatkan pengaturcaraan mikropengawal, mekanikal serta reka bentuk robot yang dicipta oleh guru dan murid sendiri dari sekolah masing masing.
Antara pertandingan yang diadakan adalah pertandingan Sumo Robot, Soccer Robot, Monkey Bar Robot, Frog Robot, Minion Robot dan Peperiksaan AI Program.
FRC 2024 juga adalah kesinambungan daripada program Felda Digital Maker Hub-Coding & Robotic (FDMH), iaitu pelaksana program ini mengguna pakai modul khas yang dibangun oleh Zull
Design Autotronic (ZDA) bersama Kementerian Pendidikan bagi memastikan kualiti tinggi dan pematuhan kepada piawaian pendidikan.
“Sehingga kini, sebanyak 80 daripada 270 sekolah di kawasan FELDA telah menerima peralatan FDMH.”ujarnya kepada Utusan Pelajar.
Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan melahirkan murid berkualiti tinggi, sejajar dengan perkembangan pesat teknologi semasa. – UTUSAN