Wira Fun Walk 24 kumpul dana bantu kebajikan KRD

Wira Fun Walk 24 kumpul dana bantu kebajikan KRD

PELAKON dan pengacara, Alif Satar turut serta memeriahkan Program Amal ‘Wira Fun Walk 24’ bersama 1,200 peserta di hadapan bangunan DBKL, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 3,000 peserta terdiri daripada individu dan korporat memeriahkan Program Amal ‘Wira Fun Walk 24’ yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Program anjuran Yayasan Kor Risik Diraja Malaysia (YKRDM) yang julung kalinya diadakan itu bertujuan mengumpul dana bagi membantu menjaga kebajikan warga serta veteran Kor Risik Diraja (KRD) dan keluarga selain kakitangan awam yang berkhidmat dengan KRD.

Pengasas Yayasan Kor Risik Diraja Malaysia (YKRDM), Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim berkata, pihaknya tidak menyangka akan menerima sambutan luar biasa daripada peserta biarpun program itu pertama kali diadakan pihaknya dalam usaha mengisi tabung dana.

DR. SYED Azman Syed Ibrahim (tiga dari kiri) mengibarkan bendera tanda pelepasan peserta Program Program Amal ‘Wira Fun Walk 24’.

“Sambutan sungguh luar biasa saya difahamkan dan saya harap dapat kita teruskan lagi pelbagai aktiviti pada masa akan datang.

“Selain acara berjalan kaki, pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan antaranya gerai jualan, pameran motor berkuasa tinggi serta sesi senaman zumba,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Program Amal ‘Wira Fun Walk 24’ itu turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kumpulan Syarikat Weststar bersama-sama KRD dan Angkatan Tentera Malaysia.

Sepanjang program itu juga, pelbagai aktiviti telah disusun atur seperti solat Subuh Macam Jumaat, pameran motosikal Harley Davidson oleh DK Biker, pameran kereta berkuda, zumba dan cabutan bertuah.

Sementara itu, Pengerusi YKRDM, Datuk Kamarudin Mohamed berkata, beliau berterima kasih dan menyambut baik kerjasama daripada semua pihak yang menjayakan program tersebut.

KAMARUDIN Mohamed menyampaikan hadiah berupa televisyen kepada salah seorang pemenang pada Program Amal ‘Wira Fun Walk 24’.

Katanya, berdasarkan sambutan yang baik, YKRDM mewar-warkan kepada semua pihak yang sudi untuk bersama YKRDM terlibat pada program-program akan datang bagi membantu menjaga kebajikan warga serta veteran kor risik diraja dan keluarga selain kakitangan awam yang berkhidmat dengan KRD.

Kebersamaan dan kesepaduan itu, tambah beliau, menjadi satu motivasi bagi YKRDM secara amnya terus berkembang menjadi sebuah organisasi yang dinamik dan akan terus aktif untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti sosial dari masa ke semasa khusus bertujuan untuk meningkatkan dana secara berkala.

“YKRDM turut merakamkan sekalung penghargaan terhadap bantuan serta sokongan dari syarikat-syarikat serta orang perseorangan. YKRDM berharap untuk memperluaskan peranan sosial kepada masyarakat Malaysia secara umumnya tanpa terikat dengan limitasi-limitasi tertentu.

“Saya juga amat berterima kasih atas bantuan DBKL, pihak PDRM terutama bahagian trafik dan pegawai keselamatan yang lain kepada sambutan ‘Wira Fun Walk 24’ tahun ini,” ujarnya.

Presiden Kelab Veteran Kor Risik Diraja Malaysia (KVRM), Mejar Jeneral Datuk Hamzah Ali pula berkata, program itu dilihat dapat menyemarakkan lagi semangat gaya hidup sihat selain membantu menyumbang kepada tabung kebajikan bekas anggota tentera.

“Sumbangan kita perolehi adalah daripada yuran penyertaan peserta sebanyak RM50 bagi setiap orang dan pada masa sama kita juga adakan tabung-tabung kutipan rayuan hari pahlawan.

“Diharapkan mereka yang tidak dapat menyumbang sebelum ini akan mampu untuk memberikan sedikit sumbangan sekurang-kurangnya bagi menyokong aktiviti yang kita laksanakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya