Warga KL diminta sama-sama  jejak  Nur Shafila - Utusan Malaysia

Warga KL diminta sama-sama  jejak  Nur Shafila

NUR SHAFILA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu kepada Nur Shafila Suaib, 20,yang dilaporkan hilang sejak 15 Julai lalu berharap anaknya akan pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Seorang pengguna TikTok dengan nama Julia94 dalam satu hantaran berkata, Nur Shafila yang dipanggil Memey oleh ahli keluarganya dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi keluarganya sebelum satu laporan polis dibuat sehari selepas itu.

“Mama menangis siang malam fikirkan kau Mey. Setiap hari mama berdoa semoga kau balik ke pangkuan keluarga dengan selamat’.

“Tolong siapa yang nampak Nur Shafila Suaib sila hubungi kami. Dia bekerja di Kuala Lumpur, asal (berasal) dari Sabah.

“Sampai sekarang kami masih tidak dapat jejak dia berada di mana. Keluarga kami risau dan kami semua (berada) di Sabah. 

“Minta jasa baik warga Kuala Lumpur tolong share (kongsi) banyak-banyak (di TikTok) sampai kami jumpa adik kami,” tulisnya pada salah satu daripada 12 gambar Nur Shafila yang dikongsikan menerusi TikTok.

Dalam pada itu, katanya, ibu kepada wanita itu juga kerap menangis kerana risau keselamatan dan keadaan anaknya.

“Mama nangis siang malam fikirkan kau Mey, tengoklah,” tulisnya dalam kapsyen bersama sekeping gambar wanita yang dipercayai ibu kepada Nur Shafila yang riak wajahnya penuh kesedihan.

Perkongsian Julia itu setakat ini mendapati 103 tanda suka, sembilan komen dan dikongsikan 27 kali oleh pengguna TikTok lain.

Terdahulu, polis meminta bantuan orang awam untuk mengesan seorang pengasuh taska yang bekerja  di Desa Petaling  yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 15 Julai lalu.

Nur Shafila, kali terakhir dilihat di Kampung Sri Malaysia, di sini dan polis menerima laporan berhubung kehilangan wanita tempatan itu pada 16 Julai lalu.

Nur Shafila berketinggian 148 sentimeter, berat 45 kilogram, berbadan sederhana kurus, bertudung dan tidak berkaca mata.

Alamat terakhir wanita itu adalah di 12-23 Pangsapuri Sri Malaysia, No 2 Jalan 3/141 Kampung Sri Malaysia, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Balai Polis Salak Selatan Baru, Sarjan Khalik Abdul Wahab, di talian 03-79815053 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN