KEMAMAN: Seorang wanita di Kampung Ibok dekat sini, berdepan detik cemas selepas melihat seekor beruang matahari berkeliaran di kawasan rumahnya kelmarin.
Roslina Embong, 56, berkata, dia yang membuka pintu rumahnya untuk menyalakan lampu beranda kira-kira pukul 7.30 petang terkejut melihat kelibat beruang di pekarangan rumahnya.
“Awalnya saya sangkakan anak lelak sedang berada di luar rumah, namun bila objek itu bergerak-gerak rupa-rupanya seekor beruang.
“Saya panik dan menjerit ketakutan bila nampak beruang tersebut sebab badannya besar. Saya bergegas masuk ke dalam rumah dan menutup pintu,” katanya ketika ditemui semalam.
Roslina berkata, haiwan liar yang dipercayai kelaparan itu mungkin berkeliaran di kawasan rumahnya untuk memakan durian berikutan suaminya, Zahari Hamzah, 58, membawa pulang buah tersebut dan meletakkannya di beranda rumah mereka sebelum kejadian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah memasang sebuah perangkap di kawasan tersebut bagi menangkap beruang selepas beberapa jam aduan diterima. – UTUSAN