USIM paling ramai pelajar Palestin di Malaysia

USIM paling ramai pelajar Palestin di Malaysia

NIK Norzrul Thani Nik Hassan Thani bergambar kenangan pada Majlis Bersama Media USIM di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini merekodkan bilangan pelajar Palestin paling ramai iaitu 135 orang berbanding institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, daripada jumlah itu, lapan merupakan pelajar ijazah sarjana muda di pelbagai jurusan.

Sementara selebihnya pula ialah penuntut pasca siswazah sama ada peringkat sarjana dan doktor berfalsafah dengan kos pengajian kesemua mereka ditaja sepenuhnya oleh USIM.

“Sepanjang tahun lalu sahaja, kami menanggung yuran mereka yang keseluruhannya itu dibayar sebagai biasiswa dengan jumlah hampir RM290,000,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Media 2024, di sini hari ini.

Menurut beliau, kos penuntut Palestin diberikan sama taraf seperti kadar bagi pelajar tempatan sebagai membuktikan komitmen kerajaan Malaysia terhadap nasib Palestin.

Setakat ini jelas beliau, USIM mencatatkan sejumlah 36 bekas graduan dari negara tersebut dan bersedia menawarkan lebih banyak tempat kepada penuntut Palestin yang berminat.

Pada majlis berkenaan, beliau turut melancarkan sebuah dokumentari khas mengenai warga Palestin berada di USIM dengan tajuk ‘The Great Sacrifice’ yang berdurasi kira-kira 15 minit.

“Ia sebagai bentuk penghargaan atas perjuangan mereka berdepan konflik dengan rejim Israel sejak sekian lama demi menyambung pengajian dalam serba kekurangan,” katanya.

Dokumentari pendek itu diterbitkan Pusat Komunikasi Strategik USIM yang diarahkan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Faizal Kasmani dengan prosesnya mengambil masa lebih sebulan.

Uniknya kata Nik Norzrul Thani, ia turut ‘dibintangi’ sendiri pensyarah Palestin di universiti tersebut iaitu Dr. Wesam Mah serta dua pelajarnya, Reem Almenawi dan Abdallah Abuajwa.

Kos penerbitannya pula tidak lebih RM3,000 dengan beberapa babak di Palestin mendapat kerjasama daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri.

“Idea dokumentari ini tercetus apabila kami tersentuh melihat kegigihan pelajar USIM di Gaza tabah ketika ujian atas talian dengan rumah mereka sendiri hancur musnah,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau mengajak individu atau korporat menaja pengajian penuntut Palestin sebagai bentuk sumbangan amal jariah untuk membina semula negara berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN