Usah hukum Terjerat - Utusan Malaysia

Usah hukum Terjerat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA dua bintang utama drama, Terjerat terpalit kontroversi ketika penggambaran dijalankan,ada kerisauan yang terbit dalam hati sutradara, Azmi Hatta. Sebolehnya dia tidak mahu drama ini ‘diboikot’ lantaran kontroversi yang berlaku.

Bagi Azmi, kudrat dan keringat semua kru produksi yang terlibat tidak seharusnya disia-siakan apatah lagi menghukum drama yang penuh konflik itu hanya kerana kontroversi yang menggegarkan dunia hiburan tempatan.

Malah, Azmi juga memohon agar penonton tidak bersifat skeptikal sementelah dua pelakon terbabit, Ruhainies dan Alif Aziz bersikap professional semasa penggambaran dijalankan biarpun dihambat pelbagai kecaman dan kritikan.

“Lakonan yang dibawa oleh Alif, Ruhainies dan Fendy Bakry melalui drama ini sangat menepati kehendak saya. Mereka sangat profesional dan memberi kerjasama baik biarpun ketika itu terganggu dengan apa terjadi.

“Mengikut pengalaman, saya pernah bekerjasama dengan ketiga-tiga pelakon yang hebat ini dan tahu kemampuan mereka. Saya juga yakin dengan bakat lakonan yang mereka miliki,” kongsinya.

Tunjang utama Terjerat, Aliff Aziz dan Ruhainies telah terlibat kes khalwat pada 9 Mac lalu dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu ketika sebutan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, pengarah Playboy Itu Suami Aku itu turut menyifatkan Ruhainies sebagai pelakon wanita yang sangat fleksibel apabila digandingkan bersama Alif dan Fendy.

“Ruhainies sangat fleksibel apabila digandingkan dengan dua jejaka itu. Selain itu, Alif dan Fendy juga banyak membantu antara satu sama lain bagi menepati kehendak saya bagi keperluan setiap babak bagi drama ini,” ujar Azmi.

Dalam pada itu, pelakon, Aliff Aziz menzahirkan rasa bersyukur kerana kepercayaan yang telah diberikan pihak iQIYI dan produksi Terjerat. Dia juga sentiasa bersedia untuk mempromosikan naskhah itu.

“⁠Terdapat banyak mesej yang terkandung sepanjang naskhah ini yang saya rasa dapat semua penonton ambil juga sebagai peringatan.

“Secara peribadi, saya merasakan ⁠Terjerat adalah satu naskhah yang menarik kerana mempunyai banyak ‘plot twist’ yang akan membuat penonton terus tertarik dengan drama ini,” ujar anak kelahiran Singapura itu.

PAMER KELAINAN
Memberi kelainan daripada drama melayu lain, drama itu menuntut rasional penonton yang menonton setiap episod bagi mengetahui kisah yang sebenar kerana jalan cerita tidak semudah disangkakan.

Menceritakan Nadia (Ruhainies) dan Faliq (Aliff Aziz) yang berada dalam bayangan krisis hutang yang dahsyat dan mendapati diri mereka terperangkap dalam sebuah episod penculikan selama seminggu akibat hutang pasangan masing-masing.

Ikatan yang terjalin dalam kegelapan itu akhirnya membawa mereka kepada cinta yang tidak dijangka sehingga memaksa mereka memilih antara kesetiaan kepada pasangan yang tidak jujur atau tarikan takdir yang tidak dapat dilawan.

Menurut Azmi, drama itu mencungkil kelemahan dan khilaf individu yang bergelar manusia yang tidak terlepas daripada berbuat kesalahan.

“Siri ini akan menjanjikan pengalaman menonton yang penuh emosi dan ketegangan dengan gabungan genre melodrama percintaan dan suspense thriller.

“Penonton juga perlu melihat hasil kerja yang saya dan barisan pelakon drama Terjerat hidangkan bagi menilai selera dalam konteks genre yang berbeza.

“Berlatarkan kisah cinta terlarang dan mempunyai pelbagai konflik yang matang, drama ini akan menjanjikan kelainan daripada drama melayu lain,” ujarnya.

Terjerat bersiaran sebanyak 12 episode pada setiap Jumaat dan Sabtu pada pukul 9 malam di platform iQIYI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya