Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN), Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program PUTRA Earth Care Initiative (PECI) yang disertai 200 komuniti Orang Asli di Kampung Beswok, Pos Yum, Sungai Siput, Perak baru-baru ini.
Program itu turut mendapat kerjasama dengan Lembaga Koko Malaysia (LKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak, EcoGreen Global Sdn. Bhd. dan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pengarah program, Tengku Afiqah Tengku Azman berkata, program itu bertujuan memperkasa kelestarian alam sekitar, keterjaminan makanan dan kelestarian pertanian kepada komuniti Orang Asli melalui dua fasa.
“Untuk fasa pertama iaitu program perkongsian berbentuk simposium melibatkan panel pakar daripada industri dan universiti. Bagi fasa kedua program pemindahan maklumat berkaitan kelestarian pertanian kepada komuniti Orang Asli dijalankan dengan kerjasama LKM,” katanya.
Sebelum ini, aktiviti pembuatan sabun tanpa kimia telah dijalankan bersama komuniti Orang Asli oleh syarikat EcoGreen Global Sdn. Bhd. semasa fasa pertama berlangsung pada Mei lalu di Bangunan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM.
Tambah beliau, program itu merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong hasrat yang dibawa oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah bagi memperkasa pertanian melalui komuniti.
“Antara aktiviti yang dijalankan adalah Gerak Gempur bersama LKM iaitu pelajar dan petani kecil diberi pendedahan mengenai penjagaan dan pengendalian serta kawalan serangga perosak bagi tanaman koko,” katanya.
Selain itu, 15 pek baja kompos disumbangkan oleh Pusat Pertanian Putra (PPP), UPM dan 150 biji benih nanas disumbangkan oleh Saudagar Nanas Agrofarm untuk ditanam oleh komuniti Orang Asli di kawasan mereka.
Pegawai LKM, Mohd. Mustafa Munim Motolani berkata, program itu memberi impak yang positif kepada komuniti Orang Asli serta pelajar terutama berkenaan dengan kelestarian pertanian dan alam sekitar.
“Program ini dapat memberikan pendedahan kepada komuniti Orang Asli dan pelajar mengenai kelestarian pertanian terutama melibatkan tanaman komoditi seperti tanaman koko,” katanya.-UTUSAN