PUTRAJAYA: Kerajaan menyokong penuh kenyataan rasmi Al-Azhar Al-Sharif yang mengecam sekeras-kerasnya adegan-adegan dipaparkan pada majlis pembukaan Sukan Olimpik 2024 Paris.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ini kerana upacara itu menonjolkan unsur-unsur keterlaluan memperlecehkan kenabian yang suci dan agong atas nama kebebasan berkarya dan mencipta.
Tegasnya, walaupun majlis itu diadakan dengan penuh warna-warni dan membawa satu kelainan, namun keghairahan penganjur ‘berkarya’ dan ‘mencipta’ tanpa menghiraukan sensitiviti kepelbagaian agama, budaya dan kepercayaan dunia telah menjejaskan suasana kemeriahan pembukaan Sukan Olimpik 2024.
“Walaupun penganjur menafikan mereka mempunyai agenda tertentu dan tidak mempunyai mesej spesifik yang ingin disampaikan, namun watak-watak dan adegan yang dipersembahkan jelas tidak menghormati kepercayaan orang yang beragama yang percaya pada nilai, moral dan kemanusiaan yang luhur.
“Ini termasuk mempromosi unsur lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) yang bercanggah dengan agama dan budaya sebahagian besar masyarakat dunia dan satu tindakan berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perkara ini mengundang kemarahan masyarakat global yang mengimpikan keharmonian sejagat dicapai melalui penganjuran sukan yang berprestij serta menjalin hubungan erat sesama manusia.
Oleh itu, katanya, sewajarnya unsur-unsur yang mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa apatah lagi mempromosikan cara hidup songsang tidak harus ditonjol dan dipromosikan.
“Dalam konteks penganjuran sukan bertaraf antarabangsa, sewajarnya badan yang bertanggungjawab memastikan elemen-elemen yang boleh mencetuskan kontroversi seperti ini tidak dipersembahkan walau apa jua alasan diberikan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, semua pihak adalah bertanggungjawab untuk meraikan kepelbagaian budaya dan mempromosikan sikap hormat menghormati, persaudaraan manusia dan kehidupan bersama.
Justeru, jelas beliau, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan penghormatan dan keharmonian global ini perlu dielakkan sama sekali. – UTUSAN