KUALA LUMPUR: Penyanyi, Iman Troye mendedahkan dirinya dibesarkan dalam keluarga yang tegas terutamanya berkaitan penggunaan telefon.
Ujar Iman atau nama sebenarnya Iman Alyssa Sahabuddin, 22, dia membesar dengan banyak peraturan dan tidak memiliki telefon sendiri sehingga umurnya 17 tahun.
“Sebelum ini, saya hanya menggunakan telefon mak sahaja. Jika nak buat cover lagu dan hantaran ke Instagram, semuanya dengan menggunakan telefon daripada mak sahaja.
“Saya juga dapat telefon hanya hujung minggu dan itu pun dari pagi hingga ke malam. Peraturan ini bukan saya sahaja tetapi untuk adik beradik yang lain juga,” kongsinya.
Menurut penyanyi Nang itu, mungkin ketika masih kecil darinya tidak memahami mengapa perlu untuk berbuat demikian kerana peraturan itu berbeza dengan kawan-kawan yang lain.
“Masa kecil dulu kita tak faham dan sering tertanya, kenapa perlu macam ini? Kenapa kawan-kawan adik boleh? Dan jika nak keluar pun, mereka kena datang ke rumah saya dahulu.
“Bila dah besar saja dah faham dan membuatkan saya lebih fokus kepada benda yang memberi manfaat kepada saya dan orang sekeliling,” katanya ketika ditemui Majlis Pelancaran Kotex Total Protection 2024 di sini, semalam.
Dalam pada itu, bercakap mengenai isu kehilangan remaja yang semakin menjadi-jadi, penyanyi itu menasihati agar remaja di luar sana untuk sentiasa mendengar nasihat ibubapa.
“Kepada adik-adik di luar sana, jangan ingat ibu bapa kongkong kita tanpa sebarang sebab.
“Perkara itu memang untuk kebaikan kalian sendiri sebab mereka hidup lebih lama dan makan banyak garam lagi daripada kita.
“Jadi, percaya kepada ibu bapa kita sebab mereka yang melahirkan, besarkan kita. Jadi, janganlah melawan. Ikut sahaja,” ujarnya.-UTUSAN