UMNO Perlis ambil langkah awal, kenal pasti calon PRU16 - Utusan Malaysia

UMNO Perlis ambil langkah awal, kenal pasti calon PRU16

ROZABIL ABD. RAHMAN.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Badan Perhubungan UMNO negeri telah mengenalpasti calon-calon yang berpotensi serta berkelayakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi misi kembali merampas negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, secara dasarnya, perkara tersebut telah dibincangkan sebelum ini namun parti itu masih sedang mempertimbangkan bagi mengumumkan calon berkenaan secara rasmi atau sebaliknya.

Beliau berkata, langkah awal mengenalpasti calon lebih awal merupakan antara perubahan cuba dilakukan parti itu di peringkat negeri bagi membantu kemenangan UMNO dalam PRU16.

“Saya percaya kita akan dapat persetujuan daripada presiden untuk ketengahkan calon yang telah dikenal pasti tersebut.

“Dan daripada situlah kita akan lihat petunjuk prestasi utama (KPI) mereka sama ada mampu untuk diketengahkan sebagai calon atau tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rozabil berkata demikian bagi mengulas cadangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani supaya parti itu mengenal pasti segera calon-calon yang ingin diketengahkan dalam PRU16.

Johari dilaporkan berkata, kepimpinan di semua peringkat terutama di negeri-negeri perlu melakukan kerja awal dengan mengenal pasti calon yang berkelayakan untuk bertanding di mana-mana kawasan yang parti itu kalah sebelum ini.

Kata Johari, langkah tersebut sekali gus membolehkan kepimpinan parti menilai prestasi calon berkenaan dalam tempoh tiga tahun akan datang sebelum tibanya PRU16.

Dalam PRU15, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perlis buat pertama kalinya hilang penguasaan kerajaan negeri apabila kalah semua 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen.

Tambah Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut dan akan berbincang secara lanjut bersama kepimpinan UMNO negeri selepas ini.

“Saya menyambut baik cadangan Datuk Johari itu dan akan duduk bersama Ketua UMNO Bahagian lain untuk membincangkan mengenai perkara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya