'UMNO berada pada titik paling lemah, jangan putus asa, bangkit - Fathul Bari - Utusan Malaysia

‘UMNO berada pada titik paling lemah, jangan putus asa, bangkit – Fathul Bari

FATHUL Bari Mat Jahya (dua dari kanan) beramah mesra bersama pemimpin sayap UMNO selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kangar di Dewan Warisan, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Semua pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh berputus asa walaupun parti itu sedang berada pada titik paling lemah pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, parti itu masih mempunyai masa depan dan mampu untuk bangkit semula dengan penuh kesedaran dalam meraih semula sokongan rakyat.

Beliau berkata, Allah SWT menjadikan UMNO lemah bagi memberi ruang buat parti itu untuk menyemak kembali kelemahan dan mencari jalan keluar sebaiknya.

“Allah SWT tak bagi kita berputus asa kerana itu bukan sikap seorang Muslim dan kita kena keluar dari kepompong itu.

“Kita di titik paling lemah sepatutnya mengambil peluang motivasi dan semak kembali apa kelemahan kita,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kangar di Dewan Warisan, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan, Fathul berkata, beliau turut mengingatkan semua perwakilan UMNO Bahagian Kangar untuk membincangkan secara serius langkah-langkah bagi mengembalikan semula kekuatan parti itu.

Katanya, setiap ahli dan pemimpin UMNO juga perlu mempunyai kesedaran bagi memperbaiki kelemahan diri dan parti itu.

“Kita juga tak mahu program-program atau mesyuarat yang hanya memuji pemimpin atas mahu pun bawah kerana ini adalah masa untuk memperbaiki diri serta parti ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fathul berkata, buat masa ini, kerjasama UMNO di peringkat bahagian dan negeri adalah sangat positif dari aspek komunikasi, gerak kerja, sayap dan sebagainya.

Ujarnya, setiap mesyuarat yang dilaksanakan juga perlu menunjukkan impak dan resolusi positif demi kebaikan parti tersebut.

“Kita mahukan perbincangan tersebut lebih berfokus dan tertumpu kepada perkara yang betul serta mempunyai kebaikan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya