KANGAR: UMNO mengalu-alukan sebarang langkah dan usaha oleh kerajaan bagi memperbaiki kelemahan yang terkandung dalam akta lompat parti ketika ini.
Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, langkah tersebut juga dapat mengelakkan daripada berlakunya kenyataan bercanggah melibatkan akta berkenaan.
Zambry berkata, UMNO sememangnya tiada masalah sekiranya akta itu ditambah baik namun dalam masa sama, aspek pengasingan kuasa juga perlu diamati dan diberi perhatian.
“Sebarang langkah untuk memperbaiki (akta) kalau ada kelompongan tentunya kita alu-alukan sebab hasrat kita di peringkat awal begitulah. Tapi dalam masa sama, ‘separtion of power’ itu juga harus diamati.
“Jadi untuk minta kita campur tangan semua itu macam mana kerana itu adalah keputusan Speaker Dewan Rakyat walaupun orang boleh membuat tafsir itu dan ini,” katanya selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar 2024 di Dewan Warisan, di sini, hari ini.
Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan kerajaan berbincang bagi meminda akta lompat parti untuk memperbaiki kelompangan yang terdapat dalam undang-undang berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan (PH) pada 2022 pernah mengusulkan supaya pindaan dibuat kepada akta terbabit, namun ditolak oleh kerajaan ketika itu.
20 Jun lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Anwar, dikosongkan.
Bagaimanapun, Johari dalam keputusannya menolak permohonan Bersatu bagi mengosongkan enam kerusi Parlimen berkenaan.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas perkembangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Zambry yang juga merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, calon bagi kerusi itu telah dikenal pasti seperti mana perbincangan dengan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini.
Katanya, UMNO turut mengadakan mesyuarat di peringkat jawatankuasa dan ‘war room’ bagi memastikan persiapan awal dilakukan dalam menghadapi PRK tersebut.
“Kita juga telah menyenaraikan calon-calon itu dan ia akan diumumkan nanti,” katanya.-UTUSAN