Mutakhir ini, masyarakat hangat membincangkan isu lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang enggan melanjutkan pengajian selepas tamat sekolah.
Baru-baru ini pula, seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu. Menurut Kementerian Pendidikan, punca ketidakhadiran adalah kerana mereka sudah bekerja, berkahwin, sakit, kemalangan atau bencana alam.
Perkara ini membimbangkan apabila memikirkan hala tuju mereka untuk menjana sumber pendapatan dan menyara keluarga kelak.
SPM amat penting dalam pendidikan dan bukan hanya sekadar penanda aras. Sungguh pun keputusan SPM bukan penentu masa depan seseorang, namun ia adalah keperluan asas untuk memohon kerja atau melanjutkan pelajaran.
Jika dilihat dari sudut kesan jangka masa panjang, ketiadaan SPM dalam kalangan generasi muda menyebabkan penurunan kualiti tenaga kerja. Negara menghadapi kekurangan pekerja yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.
Institusi pendidikan tinggi turut terjejas, apabila bilangan pelajar menurun, sumber kewangan dan dana penyelidikan turut berkurang. Penutupan program-program yang tidak mendapat sambutan menjadi penghalang untuk kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.
Secara prinsipnya, pendidikan tinggi membuka peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih tinggi. Sebaliknya, tanpa SPM pelajar terlepas peluang meningkatkan taraf hidup mereka. Negara berdepan masalah sosial dan ekonomi dengan peningkatan kadar pengangguran dan ketidaksamaan pendapatan.
Dalam hal ini, pelajar yang gagal atau tiada SPM masih diberi peluang kedua dengan menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pelbagai bidang kemahiran ditawarkan dengan kerjasama 12 kementerian. Sehingga kini terdapat 1,345 institusi TVET kerajaan dan swasta di Malaysia yang menawarkan 250,000 tempat kepada pemohon.
Saya percaya dengan kemudahan pembiayaan yuran pengajian dan penginapan oleh kerajaan, dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar. Kelulusan TVET membuka laluan cerah kepada pelajar untuk mendapatkan pekerjaan atau menceburi bidang perniagaan. – UTUSAN
Dr. Rodzidah Mohd. Rodzi ialah Pegawai Khas (Penyelidikan) Jabatan Tenaga Manusia Kementerian Sumber Manusia.
[email protected]