Tubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah – Mohd. Na’im

Tubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah – Mohd. Na’im

MOHD. Na'im Mokhtar ketika mengiringi Anwar Ibrahim dalam Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah Di Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggubalan Akta Saraan Hakim Syarie perlu dilaksanakan sebagai satu keperluan agar jawatan hakim syarie diasingkan daripada perkhidmatan awam yang lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia bagi menaikkan taraf jawatan hakim untuk memberikan refleksi sebenar kepada perkara 121 (1A) yang telah meletakkan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil.

Kata beliau, akta berkenaan juga akan memastikan  kebebasan badan kehakiman di negara ini.

“Justeru, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya pelantikan kehakiman Syariah termasuklah akta saraan kehakiman ini.

“Untuk melihat perkara ini dengan lebih dekat dan terperinci, pihak kami akan mengadakan pertemuan bersama  Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam serta lain-lain agensi yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam perasmian Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah Di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi komitmen untuk menyegerakan cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie bagi memartabatkan status hakim mahkamah syariah agar setaraf dengan kehakiman mahkamah sivil.

Anwar berkata,  perkara tersebut sedang mendapat perhatian kerajaan kerana terdapat keperluan bagi mengimbangi antara Skim Perkhidmatan Kehakiman Syariah dan Skim Perkhidmatan Kehakiman Sivil.

Pada masa ini, jawatan hakim syarie mengikut skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Mengenai penganjuran konvensyen itu, Mohd. Na’im berkata, ia bertujuan menjelaskan pelan dan perancangan proses pemurnian dan pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di semua peringkat yang kini sedang diusahakan pihaknya menerusi agensi-agensinya yang berkaitan.

Katanya, konvensyen ini juga bermatlamat memperkukuh kefahaman selain memperkasa tindakan dalam usaha-usaha memartabatkan perundangan dan kehakiman syariah secara kolektif dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berharap agar konvensyen ini dapat membuka ruang semua pihak untuk memberikan pandangan dan cadangan ke arah memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia secara komprehensif dan menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya