ADA dua sebab kerana saya menyisakan masa menonton Trigger Warning (TW). Pertama, kerana ia memasuki senarai 10 filem paling banyak ditonton di platform Netflix.
Kedua, ia merupakan naskhah yang dibikin oleh pengarah Mouly Surya yang terkenal dengan filemnya yang unik. Paling saya suka adalah Marlina Pembunuh Dalam Empat yang setahu saya pernah memenangi anugerah di Festival Filem Cannes.
Semestinya saya kagum apabila mengetahui kehebatan Mouly diakui dunia sehingga dibukakan jalan untuk mengarah sebuah filem aksi Hollywood yang watak utamanya dimainkan oleh pelakon, Jessica Alba.
Sudah lama rasanya kita tidak menonton Jessica Alba di layar untuk filem aksi, kali terakhir mungkin sekitar lapan tahun lalu dalam Mechanic. Jadi, pasti ada sesuatu dalam Mouly yang membuatkan pelakon itu terpanggil untuk kembali.
Bila difikir-fikir, rasanya Mouly adalah satu-satunya pengarah Indonesia yang pernah mengarahkan sebuah filem Hollywood secara penuh.
Sebelum ini, mereka ada Timo Cahyanto tetapi naskahnya disutradarai bersama pengarah lain dan bukan naskhah penuh.
KELAT DAN TAWAR
Namun begitu, setelah 15 minit menonton filem ini, rasa tawar dan kelat perlahan-lahan terbit di tekak saya seolah-olah sukar menelan kenyataan bahawa TW tidaklah sebagus yang saya fikirkan. Jangan marah dulu, saya ceritakan sebabnya satu persatu.
Pertama, babak pembukaannya di tengah padang pasir menunjukkan kehebatan Parker iaitu Jessica Alba sebagai salah seorang agensi risikan CIA terbaik.
Ketika menyelesaikan misi tersebut, mereka pulang menaiki jip dan tiba-tiba telefonnya berdering. Bekas kekasihnya memaklumkan bapanya sudah meninggal dunia.
Saya sempat mengerut dahi memikirkan betapa tidak masuk akalnya seorang perisik semasa kes berprofil tinggi tidak mematikan telefon atau setidaknya meletakkan telefon dalam mod senyap semasa operasi dijalankan.
Rupa-rupanya semakin lama cerita ini berjalan, semakin tidak masuk akal dan longgarnya plot dan garapan naskhah TW.
Ketika Parker sedang bergelap dan menangis meratapi pemergian ayahnya di dalam rumah, kawannya, Mike datang di dalam hujan dengan alasan mahu memberi makan kepada cicak yang dibela bapanya.
Namun sampai ke akhir filem, di manakah cicak yang dikatakan itu sehingga membuatkan Mike sanggup meredah hujan untuk memberinya makan malam itu juga?
Antagonis filem ini sudah jelas dipaparkan sejak awal iaitu keluarga senator yang membuat perniagaan jual beli senjata tentera di pasaran gelap.
Namun, bukankah Parker seorang ahli perisik yang sudah semestinya mempunyai kenalan yang boleh menelanjangkan senator ini dengan lebih rapi dan mudah?
Lagi pula, mengapa seorang senator yang berpangkat dan kaya mahu mengotorkan tangan sanggup turun bersemuka dengan Parker yang dianggap lalat?
Upah sahajalah sesiapa, banyak pula masanya mahu bergaduh dan berleter-leter di dalam lokap Parker. Jika sudah namanya filem aksi, wajar untuk kita bahaskan aksinya.
Namun, entahlah, tiada apa-apa babak yang begitu menangkap dan diingati. Bahkan saya hampir menutup tayangan di pertengahan filem kerana membosankan namun berjaya mengumpul kekuatan untuk menghabiskan.
Trigger Warning bukanlah filem yang teruk kerana banyak lagi filem yang boleh memasuki kategori itu. Namun untuk sebuah naskhah Hollywood dari seorang pemenang anugerah filem di Cannes, saya mempunyai jangkaan yang sedikit tinggi.
Ini adalah naskhah debut Mouly di Hollywood, tidak perlu sempurna. Juga tidak boleh terlalu aib kerana khalayaknya sudah berbeza.