Tolak sebarang bentuk ekstremis, pelampau - Saifuddin

Tolak sebarang bentuk ekstremis, pelampau – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan bahawa sebarang bentuk amalan ekstremis atau pelampau harus ditolak oleh rakyat di negara ini.

Peringatan itu dibuat susulan tindakan sekumpulan ahli Parlimen pembangkang yang membaca doa qunut Nazilah selepas ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, semalam.

Beliau turut menegaskan, perbezaan politik tidak sepatutnya membawa kepada tindakan mendoakan kehancuran terhadap pihak lawan.

“Qunut Nazilah tidak digunakan untuk mendoakan kehancuran terhadap seteru politik terutama sesama umat Islam apatah lagi di Malaysia.

“Jadi sebagai Menteri Dalam Negeri saya mengingatkan bahawa sebarang bentuk amalan ekstrimis dan pelampau seperti ini harus ditolak oleh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian.

“(Tindakan) menggunakan qunut Nazilah untuk mohon kehancuran terhadap lawan politik dalam kalangan umat Islam adalah tindakan melampaui batas dan bertentangan dengan prinsip Islam yang sebenar,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membaca doa Qunut Nazilah selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan keputusan menggantung Wan Ahmad Fayhsal selama enam bulan.

Bacaan doa qunut berkenaan dipimpin Zulkifli Islam (PN-Jasin) yang juga pemimpin Pas Melaka dan dibacakan di dalam Dewan Rakyat sebaik persidangan ditangguhkan untuk rehat.

Untuk rekod, bacaan Qunut Nazilah lazimnya dibaca oleh umat Islam bagi mendoakan musuh agama atau dalam situasi perang.

Sementara itu, ketika ditanya sejauh mana pihak kerajaan merasakan tindakan membaca doa qunut berkenaan ditujukan kepada mereka, Saifuddin kemudiannya merujuk bahawa insiden itu berlaku di Dewan Rakyat.

“Di mana insiden itu berlaku semalam, di Parlimen jadi ia ditujukan kepada Israel di Gaza atau apa?

“Perbuatan membaca Qunut Nazilah sejurus selepas keputusan Parlimen kerana tidak bersetuju dengan tindakan menggantung seorang MP yang ada sebabnya melalui proses Parlimen.

“Saya kata ini adalah contoh amalan politik melampau, perbezaan politik terus dijadikan asas untuk memohon kehancuran. Ini bukan amalan Islam.

“Jadi sejauh mana kerajaan anggap ini sebagai ditujukan kepada kerajaan, situasi semalam dan kondisi, jawapan telah jelas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya