JAKARTA: Pasangan penyanyi Indonesia, Mahalini dan Rizky Febian mencuri perhatian apabila masing-masing dikatakan melakukan pembedahan plastik di Korea Selatan, baru-baru ini.
Penampilan mereka mula menjadi perbualan umum apabila Mahalini tampil dengan wajah berbeza semasa persembahan di acara Funtastic Day 2024 pada Sabtu.
Dalam video yang tular di media sosial, penyanyi Sial itu kelihatan berbeza khususnya di bahagian hidung, mata dan rahang.
Namun begitu, menerusi sebuah mesej yang dihantar kepada peminat menerusi ‘broadcast channel’, penyanyi itu menjalankan pembedahan plastik selepas doktor mengatakan tulang hidungnya senget.
Oleh itu, pembedahan perlu dilakukan agar penyanyi itu tidak mengalami masalah selesema yang berlarutan.
Bagaimanapun, wajah suami kepada Mahalini, Rizky Febian juga dikatakan berubah selepas bercuti ke Korea Selatan.
Menerusi gambar yang tular, warganet mendakwa hidung penyanyi Terlukis Indah itu lebih mancung berbanding sebelumnya.
“Kalau Mahalini lakukan pembedahan kerana masalah kesihatan, Iky pun sakit jugakah?” tulis satu komen.
“Mahalini ada masalah sinus, mungkin suaminya juga sama,” kata komen yang lain.
Sehingga kini, belum ada apa-apa kenyataan rasmi dikeluarkan daripada Rizky Febian mengenai dakwaan tersebut.-UTUSAN