IPOH: Kolej Antarabangsa TAJ (TIC) di sini melancarkan program Gerak Generasi Baru (GGB) untuk membantu pelajar menangani kos sara hidup termasuk kos pengajian tinggi.
Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, program itu bertujuan mengubah paradigma pelajar untuk berdepan dengan dunia realiti.
“Saya melihat kebanyakan pelajar terutama generasi muda banyak terbeban dengan hutang selepas tamat pengajian, tanpa pengetahuan asas tentang pengurusan kewangan yang bijak.
“Kalau kita lihat daripada statistik ekonomi negara, ramai yang dikelilingi dengan hutang pada usia muda,” katanya pada sidang media di Kolej TIC di sini.
Katanya, program GGB merupakan antara inisiatif bagi mengelakkan generasi baru daripada dikelilingi hutang dan akhirnya belajar tanpa hutang.
Menurutnya, konsep Learn and Earn yang terdapat dalam program tersebut diperkenalkan bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk belajar sambil menjana pendapatan sekaligus membiayai kos sara hidup dan kos pengajian.
“TIC sedar akan cabaran yang dihadapi oleh anak muda hari ini, terutamanya dalam mencari peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan serta meningkatkan kemahiran mereka.
“Ini adalah langkah penting dalam memastikan bahawa pendidikan memberi impak positif, iaitu menjana pendapatan sambil belajar dan bukan dibebani dengan hutang di luar kawalan,” katanya.
Tina berkata, dalam menjayakan usaha ini, TIC dengan kerjasama HRD Corp akan mengadakan Seminar Learn and Earn sempena National Training Week (NTW) peringkat kebangsaan.
“Seminar ini bertujuan sebagai pengenalan kepada pelajar mahupun lepasan SPM untuk mengetahui dan memilih bidang yang diingini di samping panduan kepada mereka berkaitan kelebihan menjana pendapatan sambil belajar.
“Seminar tersebut berlangsung pada 25 hingga 29 Jun dan pendaftaran boleh dibuat di Portal NTW,” katanya. – UTUSAN