Tiada warga Malaysia terlibat rusuhan di Bangladesh

Tiada warga Malaysia terlibat rusuhan di Bangladesh

SERAMAI 123 rakyat Malaysia termasuk pelajar dari Bangladesh disambut ahli keluarga ketika selamat tiba di Balai Ketibaan KLIA Terminal 2 susulan ketegangan di negara itu. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan mengesahkan bahawa tiada penglibatan warga Malaysia terutama pelajar dalam sebarang insiden siri rusuhan ganas di Bangladesh sejak awal bulan ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menerima maklumat itu hasil temu bual dengan beberapa penuntut sendiri yang pulang ke tanah air.

“Saya kebetulan tanya tadi dengan mereka apakah ada kenalan rakyat kita di mana-mana institusi pendidikan ikut terlibat rusuhan, jawapannya tidak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut kepulangan mereka di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Kumpulan 123 orang itu meliputi 80 pelajar dan 43 bukan pelajar menaiki pesawat sewa khas AirAsia penerbangan AK76 dari Dhaka telah selamat mendarat pukul 4.56 petang.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di Bangladesh.

Ketegangan di negara itu tercetus ekoran bantahan ribuan pelajar terhadap keputusan Mahkamah Agung yang menetapkan kuota pekerjaan sektor kerajaan pada 5 Jun lalu.

Demonstrasi besar-besaran mula tercetus di seluruh tersebut sejak 1 Julai lalu yang menyaksikan lebih 150 penunjuk perasaan maut manakala ribuan lagi mangsa cedera.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution turut mengesahkan bahawa tiada warga Malaysia yang cedera atau maut dalam konflik di Bangladesh berdasarkan maklumat diterima.

“Bagus jawapan mereka (rakyat Malaysia) yang jelas ini isu domestik dan tahu peranan mereka dengan keutamaan ialah keselamatan diri masing-masing,” tambahnya.

Ditanya bagaimana keadaan mereka sejurus tiba, beliau mengakui ada kelihatan masih terkejut namun bersyukur kerana semangat warga Malaysia khususnya pelajar amat baik.

Mengenai baki rakyat Malaysia yang berada di sana, beliau berkata, mereka merupakan pelajar tahun akhir dan ingin memberikan fokus kepada peperiksaan agar tidak terganggu.

Begitu juga ada pekerja yang terikat dengan kontrak dan kekal menetap bersama keluarga memilih tinggal di Bangladesh serta berharap situasi kembali pulih dalam masa terdekat.

Justeru, Saifuddin Nasution menasihatkan mereka agar menjaga diri dan tidak terlibat dalam rusuhan serta sentiasa berkomunikasi dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya