Tiada apa yang ingin saya kejar lagi – Nora Danish

Tiada apa yang ingin saya kejar lagi – Nora Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Begitu ramai melontarkan kata pujian ketika Nora Danish membuat keputusan untuk memakai hijab meskipun hal itu tidak diuar-uarkan secara rasmi.

Bukan sementara, bukan semata-mata kerana mahu menghadiri majlis agama bahkan bukan juga kerana tuntutan watak dalam lakonan,si manis ini mengakui, penampilan berhijab itu adalah keputusan terbaik demi melengkapi dirinya sebagai seorang wanita Muslimah.

Kata Nora, apa yang dilakukan itu tidak pernah menjadi paksaan siapa-siapa kerana pada fikiran dan detik hatinya, kini sudah tiba masa untuk berubah dan mencari bahagia di jalan Allah.

“Sepanjang saya hidup selama 42 tahun ini, Allah SWT sudah berikan bermacam rezeki yang tidak putus-putus buat saya. Contohnya, meskipun saya alami kegagalan dalam rumah tangga, Dia juga jadikan saya seorang yang cepat lupa pada kesedihan.

“Itu bagi saya adalah satu kurniaan yang Allah bagi dan jadikan saya cepat move on. Bagi saya, walaupun apa dugaan yang datang, saya tetap boleh atasinya.

“Jadi apa lagi yang saya mahu? Allah dah berikan macam-macam rezeki sebelum ini dari pelbagai sudut, saya sangat bersyukur. Di usia ini, memang saya sudah tidak ada apa lagi yang ingin dikejar,”katanya.

Mengakui mula terdetik mengenakan hijab kerana sering menghadiri majlis ilmu anjuran sahabat baiknya, Betty Rahmad sejak Mei tahun lalu, pelakon ini meluahkan, hatinya kini menjadi semakin tenang.

Tidak menolak bahawa ini adalah bahagia yang dicari, memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki diri ke jalan Allah juga merupakan apa yang diingini selama ini.“Setiap manusia saya tahu pasti menginginkan perubahan itu. Ada juga saya terfikir, patut tak saya ubah imej berhijab ini secara perlahan-lahan? Bila fikir lagi dan hati pun berkata tak perlu nak take it slow dah, maka saya pakai saja.

“Kalau nak buat, sekarang adalah waktunya. Macam orang kata juga, dugaan dalam kehidupan kita ini tetap akan ada. Sebab itu masa banyak cerita mengenai saya bertudung keluar dan menjadi bualan ramai, saya tak berani nak cakap apa-apa.

“Cukup takut jika menjadi riak atau bangga jika lontarkan sebarang kata ketika itu. Sebab, apa yang dilakukan ini adalah kerana saya cuma mahu bersama dan bahagia dengan diri sendiri,”katanya.

Pada masa yang sama, pelakon drama Perang Nasi Dagang terbitan RedBean Productions ini juga sedar lumrah anak seni, dugaan buat pelakon wanita bertudung itu sangat besar sementelah sisi dunia seni hiburan itu juga banyak cabarannya.

Turut meluahkan rasa bimbang andai diri gagal melawan nafsu, Nora bagaimanapun cuba meyakinkan diri bahawa pilihan yang dilakukan ini adalah yang terbaik.

“Bagi saya, mungkin diri sendiri yang kena banyakkan berdoa. Ada juga kawan-kawan saya yang kongsikan doa-doa khusus untuk istiqamah. Saya sebelum ini masa tidak bertudung pun, ada melihat rakan-rakan artis yang tewas dalam bab istiqamah.

“Tetapi saya sangat faham sebab dalam melakukan sesuatu kebaikan ini memang banyak dugaan. Saya pun sangat berharap semua orang dapat mendoakan diri ini terus istiqamah,”katanya.

Tentang bahagia
Sementara itu, melayangkan pertanyaan tentang kehidupan peribadi selepas berpisah dengan bekas suaminya, Nedim Nadzri, Nora berkata, tiada apa perubahan ketara kecuali kini mereka tidak lagi hidup sebumbung dan bergelar suami isteri.

Ini kerana, kata Nora, Nedim baginya seorang lelaki dan bapa yang baik serta bertanggungjawab khususnya kepada anak mereka iaitu Mohamed Neyqal yang kini berusia enam tahun.

“Ketika saya membuat keputusan untuk berpisah dengan Nedim, ia bukan satu hal yang mudah. Namun untuk saya katakan secara beria-ia mungkin tak akan kembali kepada dia, itu juga tak boleh kerana kita tak akan tahu apa akan jadi pada masa akan datang.

“Meskipun begitu, hubungan kami sangat baik dan anak-anak juga tidak terabai. Saya rasa, peredaran dan perubahan dalam hidup saya kini, mungkin juga kerana Allah mahu saya jadi diri saya yang sekarang.

“Kalau nak cakap pasal bahagia, ini yang saya cari. Mungkin saya kena lalui pelbagai dugaan sebelum ini yang akhirnya membawa saya kepada penghijrahan ke jalan Allah ini,”katanya.

Ditanya bagaimana penerimaan anak-anaknya berhubung isu perceraian dengan Nedim, jelas Nora, setakat ini sudah tentu, anak sulungnya,Putra Rayqal Ramli, 17, lebih memahami.

“Sebelum berlaku perceraian itu, saya ada hubungi Rayqal dulu. Iyalah, kita sebagai selebriti, apa-apa akan keluar di media dahulu. Jadi saya tak mahu Rayqal tahu daripada situ dan lebih baik saya beritahunya sendiri.

“Alhamdulillah, dia faham tapi tidaklah bersetuju. Untuk Neyqal pula, dia masih kecil. Saya juga ada berjumpa orang bertauliah juga untuk tanya macam mana nak bercakap dengan anak kecil mengenai perpisahan ini kerana takut mengganggu emosinya.

“Jadi saya belajarlah macam mana nak kendalikan situasi. Setakat ini, Neyqal sudah terbiasa dengan konsep tidur berasingan dengan bapanya sejak rumah saya pun tak siap-siap lagi.

“Cuma adakala saja dia minta nak tidur sekali dengan saya dan bapanya. Masa itu saya akan beritahu dia baik-baik dan cakap tak boleh. Dia pun masih kecil untuk memahami semua ini, mungkin sudah besar nanti baru dia faham,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN